Oleh Prof. Ts. Dr. Aeslina Abdul Kadir, Suriayati Baharom

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh peranannya sebagai hab edu-pelancongan (edu-tourism) negara menerusi pelaksanaan inisiatif EduTourism@UTHM yang menggabungkan pendidikan, penyelidikan, inovasi, teknologi dan kelestarian dalam satu ekosistem pembelajaran bersepadu.

Inisiatif tersebut dibangunkan berlandaskan tiga objektif utama, iaitu meningkatkan keterlihatan universiti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, memperkasa pemindahan ilmu kepada masyarakat serta membangunkan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pengarah Pejabat Kampus Lestari UTHM, Prof. Ts. Dr. Aeslina Abdul Kadir berkata, pendekatan yang dilaksanakan melalui EduTourism@UTHM berbeza daripada program edupelancongan di institusi lain kerana seluruh kampus dijadikan sebagai living lab yang membolehkan pelawat mempelajari teknologi dan amalan kelestarian secara langsung.

“EduTourism@UTHM merupakan langkah strategik yang bukan sahaja mengukuhkan kedudukan universiti sebagai pusat ilmu, malah meningkatkan keterlihatan UTHM di peringkat nasional dan antarabangsa menerusi pengiktirafan bertaraf dunia serta pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar,” katanya.

Beliau berkata, antara keunikan utama UTHM ialah pengiktirafan sebagai Tapak Demonstrasi Ekohidrologi UNESCO oleh UNESCO Intergovernmental Hydrological Programme, sekali gus mengiktiraf usaha universiti dalam mengaplikasikan prinsip ekohidrologi menerusi pengurusan sembilan tasik kampus sebagai kawasan rekreasi, makmal pembelajaran dan tapak penyelidikan biodiversiti.

Menurut beliau, konsep Living Lab EduTourism turut membolehkan komuniti, pelajar, penyelidik dan pemain industri melihat sendiri pelaksanaan teknologi lestari serta inovasi yang diaplikasikan dalam persekitaran kampus.

Katanya lagi, bidang tujahan UTHM dalam teknologi lestari dan pengangkutan menjadi antara tarikan utama program tersebut, termasuk pelaksanaan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (Battery Energy Storage System) dan sistem solar berkapasiti 6.9 Megawatt Peak (MWp) yang menyokong agenda kampus rendah karbon.

“Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada warga universiti, malah menjadi rujukan kepada pelbagai institusi dalam pelaksanaan amalan kelestarian yang mampan,” katanya.

Selain itu, UTHM turut menampilkan Galeri Interaktif Teknologi Kereta Api Johor yang memanfaatkan teknologi realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) bagi memperkenalkan kepakaran universiti dalam bidang kejuruteraan rel, selaras dengan kekuatan TVET yang menjadi identiti UTHM.

Melalui pakej edu-pelancongan yang ditawarkan, pelajar sekolah, institusi pendidikan dan masyarakat turut berpeluang mengikuti pengalaman pembelajaran secara interaktif melalui pelbagai aktiviti berkaitan robotik, dron, percetakan 3D serta teknologi masa hadapan.

Pelaksanaan EduTourism@UTHM juga dijangka memberi limpahan manfaat kepada ekonomi setempat menerusi peningkatan kehadiran pelawat yang akan merangsang sektor perkhidmatan, pelancongan dan penginapan di sekitar Batu Pahat, sekali gus mengukuhkan imej daerah itu sebagai bandar ilmu, inovasi dan teknologi hijau.