Majlis Anugerah Bitara Kirana 2026 hargai jasa dan kecemerlangan warga kerja UTHM

Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 23 Julai 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus menyemarakkan budaya kecemerlangan dan penghargaan terhadap warganya menerusi penganjuran Majlis Anugerah Bitara Kirana 2026 yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Seramai 523 warga kerja UTHM menerima pengiktirafan dalam majlis tersebut iaitu Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (212), Anugerah Khas Panel Pembangunan Sumber Manusia (53), Anugerah Taat Setia (79), Anugerah Jasa Bakti (64), Anugerah Jasa 30 (12), Anugerah Pesara (52), Anugerah Cuti Belajar (2), Anugerah Pentadbir (18), Anugerah Inspirasi Cendekiawan (22) dan Anugerah Sukan (9).

Majlis yang menjadi acara tahunan universiti itu bertujuan mengiktiraf sumbangan, komitmen dan prestasi cemerlang warga UTHM dalam pelbagai bidang, sekali gus menyemai budaya kerja berprestasi tinggi selaras dengan aspirasi Global Technopreneur University (GTU2030).

Majlis telah disempurnakan dalam tiga sesi melibatkan kepimpinan tertinggi universiti iaitu Pro-Canselor UTHM, Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani; Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad dan Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali.

Tan Sri Azmi dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa kecemerlangan sesebuah universiti bukan sahaja diukur melalui pencapaian akademik dan penyelidikan, malah turut bergantung kepada pembentukan insan yang beramanah, berintegriti dan berjiwa besar.

Beliau berharap pengiktirafan yang diberikan menjadi pemangkin kepada seluruh warga universiti untuk terus menyumbang dengan lebih cemerlang serta memperkukuhkan budaya kecemerlangan yang menjadi identiti UTHM.

Sementara itu, Dato’ Sri Ibrahim dalam perutusannya pula berkata budaya menghargai kecemerlangan merupakan elemen penting dalam memastikan sesebuah organisasi terus berkembang secara mampan.

“Saya sentiasa percaya bahawa modal insan merupakan aset strategik yang menentukan masa depan institusi.

“Keupayaan universiti untuk melahirkan graduan berkualiti, memperkasa penyelidikan serta memperkukuh hubungan dengan industri bergantung kepada kecekapan dan profesionalisme seluruh warganya,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh warga UTHM agar terus menghayati nilai integriti, akauntabiliti, inovasi dan budaya kerja berprestasi tinggi demi memperkukuhkan reputasi universiti sebagai institusi pendidikan tinggi yang disegani di peringkat nasional dan antarabangsa.

Majlis Anugerah Bitara Kirana akan terus menjadi platform penghargaan tertinggi universiti kepada warga kerja yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dan dedikasi tinggi dalam melaksanakan amanah, sekali gus menjadi inspirasi kepada seluruh komuniti UTHM untuk terus mengangkat kecemerlangan organisasi.

Artikel Berkaitan

Terkini