Batu Pahat – Pusat Endowmen dan Wakaf, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di bawah program agihan manfaat Wakaf, Dana Wakaf Tunai Pendidikan UTHM telah menyerahkan sumbangan kepada 40 pelajar fakir pada 22 Mei lalu bertempat di Masjid Sultan Ibrahim, kampus induk.

Sumbangan sebanyak RM4000 ini diagihkan bagi menyempurnakan hasrat dan niat pewakaf terdahulu yang telah membuat sumbangan selain sebagai usaha untuk menghayati dan mendapat keberkatan pada bulan yang mulia ini.

Selain itu bagi mengimarahkan lagi Ramadan kali ini, Pusat Endowmen dan Wakaf turut menyampaikan tajaan yuran pengajian untuk dua pelajar miskin berjumlah RM3,520. Sumbangan yuran ini juga daripada manfaat Tabung Endowmen yang bertujuan mengurangkan beban kewangan pelajar bagi memastikan mereka dapat meneruskan cita-cita masing-masing.

Penerima sumbangan, Cik Mohammad Zairimin Cik Harun iaitu pelajar tahun empat Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) yang berasal dari Tumpat, Kelantan. Bapa kepada Zairimin tidak dapat meneruskan tanggungjawab mencari rezeki setelah disahkan mengidap penyakit Epilepsy. Kesempitan kewangan yang dihadapi keluarganya memaksa Zairimin untuk menamatkan pengajiannya di UTHM.

Manakala anak kelahiran Johor Mohamed Hafiz Abdullah, pelajar tahun empat FKMP turut dikenalpasti tidak berkemampuan meneruskan pengajian kerana kesempitan kewangan. Ini kerana keluarganya terpaksa menanggung kos perubatan yang tinggi bagi merawat ibu yang menghidap sakit buah pinggang.

“Semoga sedikit bantuan pembayaran yuran kepada kedua-dua pelajar cemerlang ini dapat mendorong mereka untuk menamatkan pengajian masing-masing dengan cemerlang,” kata Profesor Sr. Dr Wan Zahari Wan Yusoff, Pengarah Pusat Endowmen dan Wakaf.

Penyerahan sumbangan telah disampaikan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Faisal Mohamed, Timbalan Mufti Johor bersempena sambutan Majlis Nuzul dan Khatam A-Quran di Masjid Sultan Ibrahim, UTHM lalu.

Hadir sama dalam majlis tersebut Profesor Ts Dr. Wahid Razzaly, Naib Canselor UTHM serta pegawai-pegawai kanan universiti.

Untuk rekod, Pusat Endowmen dan Wakaf UTHM ditubuhkan bertujuan untuk memberi bantuan kewangan, biasiswa dan tajaan aktiviti kebajikan kepada pelajar yang berkelayakan bagi mengurangkan bebanan kos hidup yang dihadapi.

Justeru itu, Pusat Endowmen dan Wakaf amat mengalu-alukan pewakaf dan dermawan yang budiman untuk bersama-sama menyumbang kepada Dana Wakaf dan Endowmen UTHM bagi melebarkan lagi aktiviti kebajikan sebagaimana matlamat penubuhannya.

 “Marilah sama-sama kita menyumbang kepada Tabung Wakaf dan Endowmen bagi memastikan masa depan anak-anak kita  terus maju dan cemerlang,” tambah Wan Zahari.

Para dermawan boleh melayari laman sesawang https://wakaf.uthm.edu.my/index.php untuk mendapatkan maklumat lanjut.