Oleh Ts. Dr. Nur Hafizah Malik, PM. ChM. Dr. Hatijah Basri
CHICAGO – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa apabila pelajar tahun ketiga Program Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan Kepujian, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Noor Aliah Ahmad Razi, dipilih sebagai penerima tunggal Biasiswa PepsiCo–Institute of Food Technologists (IFT), Amerika Syarikat.
Biasiswa bernilai USD6,000 itu dianugerahkan kepada pelajar cemerlang daripada institusi yang program teknologi makanannya diiktiraf rasmi oleh IFT, badan profesional terkemuka dunia dalam bidang sains dan teknologi makanan.
Pengiktirafan itu bukan sahaja menonjolkan kecemerlangan akademik Noor Aliah, malah membuktikan bahawa kurikulum Program Teknologi Makanan UTHM, kualiti pendidikan serta kompetensi graduannya memenuhi piawaian antarabangsa.
Sebagai sebahagian daripada pengiktirafan tersebut, Noor Aliah bersama Ketua Program Teknologi Makanan UTHM, Ts. Dr. Nur Hafizah Malik, berpeluang menyertai IFT FIRST: Annual Event & Expo, persidangan sains dan teknologi makanan terbesar dunia yang berlangsung di Chicago dari 12 hingga 15 Julai 2026.
Sepanjang program, beliau turut menghadiri sesi ramah mesra bersama wakil PepsiCo yang memberi pendedahan mengenai laluan kerjaya, landskap penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta inovasi makanan dan minuman terkini termasuk minuman berkarbonat berasaskan prebiotik, snek berkhasiat untuk gaya hidup sihat, dan penggunaan bahan pewarna semula jadi.
Kemuncak lawatan menyaksikan Noor Aliah bersama pegawai pengiring melawat ibu pejabat korporat PepsiCo di Chicago, sekali gus memberi pengalaman langsung terhadap budaya kerja, kemudahan bertaraf dunia dan penerapan minda inovatif syarikat global tersebut.
Menurut Noor Aliah, pengalaman menghadiri IFT FIRST dan melawat PepsiCo menjadi pemangkin semangat untuk terus berinovasi serta menyumbang kepada kelestarian dan keselamatan makanan negara.
“Pengiktirafan ini membuka pintu jaringan profesional di peringkat global dan meningkatkan kebolehpasaran graduan UTHM untuk bersaing di syarikat konglomerat antarabangsa,” katanya.
Pengiktirafan daripada IFT bukan sahaja membuktikan kualiti pengajian UTHM diiktiraf dunia, malah menjadi pemangkin dalam melahirkan modal insan berdaya saing tinggi serta mampu memacu bidang teknologi dan keselamatan makanan negara.




