Batu Pahat – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima sumbangan Wakaf pertama bernilai RM4,350.00 daripada pelajar Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Sultan Ibrahim pada 31 Mei lalu.

Kutipan sumbangan tersebut dibuat melalui beberapa aktiviti perniagaan dan keusahawanan yang diusahakan oleh pelajar kursus BPK 20802 (Keusahawanan), seksyen 1,2,3 & 4, Jabatan Pengurusan dan Teknologi, FPTP. Selain itu, sumbangan bernilai RM500.00 turut dikumpul melalui program Himpunan Siswazah Kelantan UTHM (HIMSAK) semasa berlangsungnya Majlis Berbuka Puasa Perdana Sempena Sambutan 25 Tahun UTHM yang diadakan pada hari yang sama.

Aktiviti perniagaan dan keusahawanan pelajar kursus Keusahawanan FPTP ini merupakan inisiatif fakulti tersebut untuk memupukkan nilai-nilai murni  dalam kalangan pelajar untuk memahami pengertian berwakaf. Aktiviti keusahawanan ini telah diadakan selama 10 minggu dan ianya merupakan modul kerja kursus secara kumpulan yang dirangka oleh pensyarah kursus terbabit, Puan Anim Zalina Azizan dari Jabatan Pengurusan dan Teknologi, FPTP. Sumbangan yang bernilai RM4,350.00 ini merupakan hasil keuntungan perniagaan yang dijalankan oleh kumpulan pelajar terlibat sepanjang 10 minggu, yang bermula sejak bulan Mac 2018 lalu.

Kedua-dua sumbangan ini membuktikan keprihatinan dan kesedaran warga UTHM berkaitan wakaf semakin meningkat sekali gus turut menjadi salah satu pengisian sempena penganjuran Bulan Wakaf peringkat UTHM yang telah dilancarkan pada 23 Mei 2018 lalu.

Untuk rekod, sumbangan wakaf yang dilaksanakan di universiti ini bertujuan untuk membantu pihak yang lebih memerlukan.

Pengarah Pusat Endowmen dan Wakaf, Profesor Sr. Dr. Wan Zahari Wan Yusoff berkata pihak universiti amat berterima kasih dan berbesar hati menerima sumbangan tersebut. Beliau berharap sumbangan ini akan menjadi inspirasi kepada warga universiti yang lain untuk turut berwakaf demi manfaat bersama.

“Semangat yang ditunjukkan oleh kumpulan pelajar terbabit perlu dicontohi oleh warga universiti untuk turut bersama-sama meningkatkan Dana Wakaf Tunai Pendidikan UTHM,” tambahnya lagi.