BATU PAHAT – Bagi menghayati pengertian Ramadan, Unit Kebudayaan, Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan majlis berbuka puasa ‘Iftar Mubarak’ bersama pelajar Maahad Tahfiz Usratul Jannah pada 31 Mei lalu bertempat di Leezo Restaurant Container Parit Raja, Batu Pahat.

Menurut Penasihat Program, Rosdi Abdullah penganjuran Majlis Iftar Mubarak ini diadakan untuk berkongsi rezeki dan kegembiraan bersama 30 orang pelajar sekali gus sebagai usaha untuk merapatkan lagi hubungan ukhwah antara pihak universiti dengan Maahad Tahfiz al-Quran Usratul Jannah.

Majlis Iftar Mubarak ini diisi dengan aktiviti nasyid, zikir dan selawat bersama-sama tetamu jemputan dan para pelajar Maahad Tahfiz Usratul Jannah.

“Pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang menyumbang termasuk penaja utama Leezo Restaurant Container, Ratna Salju Enterprise serta Unit Perhubungan Awam, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Unit Kebudayaan, UTHM.”

“Tidak lupa juga kepada dua orang pelajar latihan industri daripada Universiti Malaysia Kelantan bersama 16 orang pelajar Kelab Warisan, UTHM yang turut bekerja keras menjayakan majlis iftar ini,” tambahnya lagi.

Sementara itu wakil Maahad Tahfiz Al-quran Usratul Jannah, Ustaz Mohd Ikhwan Basri turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak universiti khususnya Unit Kebudayaan di atas kesungguhan untuk menjayakan Majlis Iftar Mubarak ini. Menurut beliau, pihaknya sentiasa berbesar hati jika majlis sebegini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang.

“Majlis sebegini bukan sahaja memberi impak positif kepada pelajar UTHM, malah turut memberi manfaat kepada para pelajar kami kerana berpeluang berkongsi rezeki,ilmu dan kegembiraan di bulan yang mulia ini,” katanya.