MUAR – Kegembiraan jelas terpancar di wajah anak-anak yatim Rumah Baitul Maghfirah apabila kesemua mereka dibawa membeli baju raya di MYDIN MITC, Melaka pada 29 Mei lalu sebagai persiapan menyambut aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.

Menurut Pengarah Projek, Riska Mustakim Marzuki program membeli belah ini merupakan sebahagian daripada penganjuran Projek Baju Raya dan Iftar Jama’ie yang kendalikan oleh 60 sukarelawan melibatkan Sekretariat Rakan Muda (SRM), para pelajar dan Staf Unit kebudayaan UTHM.

“Projek amal seumpama ini mampu memberi mesej kepada masyarakat bahawa universiti bukan saja mementingkan aspek akademik dan kokurikulum, malah turut membentuk mahasiswa sebagai penggerak masyarakat yang dinamik,” tambahnya lagi.

Projek Baju Raya dan Iftar Jamaie yang turut berlangsung di Maahad Tahfiz Al Qur’an Ummu Anisah (Rendah) ini melibatkan 93 orang anak yatim.

Selain membeli keperluan aidilfitri, program ini turut diisi dengan aktiviti menarik antaranya sesi taaruf, majlis perasmian, iftar beramai-ramai, solat berjemaah serta persembahan istimewa daripada anak-anak yatim Rumah Baitul Maghfirah dan pelajar-pelajar UTHM yang terlibat dalam projek amal tersebut.

Sementara itu Penasihat Kelab SRM, Rosdi Abdullah turut memberitahu Projek Baju Raya dan Iftar Jamaie ini telah mendapat tajaan lebih daripada RM10,000 dalam masa sembilan hari sahaja.

“Pihak kami juga berjaya mendapatkan diskaun untuk harga borong daripada MYDIN MITC Melaka, selain turut menerima sumbangan jubah dan kurta untuk anak-anak yatim terbabit,” katanya.

“Sepanjang projek ini berlangsung, sukarelawan UTHM menjaga anak-anak yatim tersebut dengan baik sewaktu membeli belah manakala sebahagian sukarelawan lagi bergotong royong menyiapkan juadah berbuka puasa di dapur Maahad Tahfiz Al-Qur’an Ummu Anisah,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, penganjuran program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada para pelajar UTHM menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan dan sebagai usaha melahirkan mahasiswa yang mampu berfikiran secara kreatif sekali gus dapat merapatkan lagi jurang antara universiti dan kelompok masyarakat.

Sementara itu pengetua Maahad Tahfiz Al-Qur’an Ummu Anisah, Ustaz Mahmad Hamal Tukiman turut berterima kasih atas keprihatinan UTHM membantu anak-anak Rumah Baitul Marghfirah ini menyambut lebaran yang bakal tiba dengan lebih meriah.