10 orang pelajar sarjana, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diberi peluang menyertai program Mobiliti Antarabangsa Latihan Mengajar (MALAM) ke Indonesia yang telah diadakan pada 18 Januari hingga 15 Februari lalu.

Program mobiliti antarabangsa ini merupakan program kerjasama UTHM dengan dua universiti di Indonesia iaitu Universitas Negeri Yogyakarta (UNY) dan Universitas Pendidikan Indonesia (UPI). Untuk rekod, program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani sebelum ini.

Seramai lima orang pelajar Sarjana Pendidikan Teknikal dan Vokasional telah mengajar di dua buah Sekolah Menengah Kejuruan Negeri (SMKN) di Depot Yogyakarta manakala selebihnya ditempatkan di UPI. Para pelajar yang tersenarai ialah Farah binti Mohd Akabal, Pua Poh Kwong, Noor Azura binti Osman, Nur Izza Ainaa binti Mohd Ridza, Farah Najwa binti Ismail, Juliza Ezaida binti Jumelan, Hazleeza binti Abd Halim, Nur Izyan binti Subhi, Norul Husna binti Ibrahim dan Shangeetavaani D/O Kannapiran. Kehadiran 10 orang mahasiswa UTHM ini ternyata disenangi dan disambut baik oleh guru dan para pelajar di sana.

Majlis pembukaan program di Yogyakarta turut dilangsungkan di UNY sebagai tanda kerjasama erat ketiga-tiga institusi ini. Menurut Dekan Fakultas Teknik (Faculty of Engineering) UNY, Dr. Moch. Bruri Triyono, mereka amat berbesar hati dapat bekerjasama menjayakan program seperti ini dan turut merancang menghantar mahasiswa mereka ke UTHM bagi menjayakan program yang sama sekitar bulan Julai akan datang.

Menariknya, program mobiliti ini turut mendapat liputan akhbar Indonesia dan dimuatkan dalam artikel bertajuk “Mahasiswa Malaysia Mengajar di SMKN1 Depok”. Turut hadir ke majlis tersebut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, FPTV; Professor Madya Dr. Mohamad Hisyam Mohd. Hashim selaku wakil UTHM, pengetua-pengetua Sekolah Menengah Kejuruan Negeri (SMKN 1 dan 2), wakil-wakil dekan, ketua-ketua Jabatan dan juga pegawai hubungan antarabangsa UNY. Majlis pembukaan program ini juga turut diadakan di UPI dan UTHM diwakili oleh En. Safiee Idris manakala UPI pula diwakili oleh Dekan Fakulti Teknologi dan Pendidikan Vokasional, Dr. Eng Agus Setiawan.

Lanjutan daripada kejayaan ini, FPTV bercadang untuk meneruskan program “MALAM” ini ke negara lain seperti Jepun, Korea, Philippine, Brunei, Thailand serta akan melibatkan pelajar Sarjana Muda Pendidikan Vokasional dan Sarjana Pendidikan Teknikal dan Vokasional.