Pada era digital kini yang semakin pesat membangun, budaya menulis secara tradisional dilihat semakin berkurang, khususnya dalam kalangan Generasi Z iaitu generasi muda masa kini di peringkat universiti. Dahulu, menulis merupakan satu amalan penting dalam proses pembelajaran dan perkembangan intelektual seseorang. Pelajar akan membawa buku nota ke kelas, mencatat setiap isi penting yang disampaikan pensyarah dan mengulang kaji semula nota tersebut sebagai persediaan menghadapi peperiksaan. Namun, senario ini semakin jarang dilihat pada hari ini.

Generasi pelapis muda ini, yang membesar dari kecil dengan teknologi di hujung jari, lebih cenderung bergantung kepada peranti digital berbanding kaedah konvensional seperti menulis menggunakan pen dan kertas. Walaupun budaya ini dilihat remeh, namun ia juga memberi kesan yang mendalam terhadap cara pelajar belajar, berfikir dan mengingati ilmu.

Salah satu fenomena yang ketara dapat dilihat dalam kalangan pelajar universiti masa kini ialah mereka hadir ke kelas hanya dengan diri sendiri dan hanya sebilangan sahaja yang membawa peralatan untuk belajar seperti buku, pen dan juga tablet. Dianggarkan hanya suku daripada jumlah pelajar dalam satu kelas yang benar-benar mencatat isi kuliah ketika pensyarah menyampaikan kuliah, sama ada menggunakan buku dan pen secara tradisional atau melalui tablet. Selebihnya memilih untuk menjadi pendengar pasif. Situasi ini dilihat sangat meyedihkan bagi seorang pensyarah, berbeza berbanding generasi terdahulu yang aktif mencatat setiap isi penting semasa kuliah berlangsung. Walaupun kelihatan mudah, pendekatan ini sebenarnya memberi kesan besar terhadap pemahaman dan daya ingatan pelajar.

Persoalannya, mengapa budaya menulis ini semakin terhakis? Salah satu sebab utama ialah kebergantungan kepada bahan digital seperti slaid pembentangan, rakaman kuliah dan nota yang boleh dimuat turun dengan mudah. Pelajar beranggapan bahawa semua maklumat telah tersedia dan boleh dirujuk semula pada bila-bila masa. Oleh itu, mereka merasakan tidak perlu lagi mencatat nota secara manual. Selain itu, penggunaan teknologi seperti aplikasi nota digital dan kecerdasan buatan juga menyebabkan pelajar menjadi lebih pasif dalam proses pembelajaran.

Namun begitu, hakikatnya menulis bukan sekadar aktiviti mencatat, tetapi merupakan satu proses kognitif yang penting. Kajian menunjukkan bahawa menulis membantu meningkatkan pemahaman, daya ingatan dan keupayaan berfikir secara kritis. Apabila seseorang pelajar menulis, mereka sebenarnya memproses maklumat yang diterima, menyusunnya semula dalam bentuk yang lebih mudah difahami, dan seterusnya mengukuhkan ingatan terhadap ilmu tersebut serta menghubungkannya dengan pengetahuan sedia ada. Tanpa proses ini, maklumat yang diterima hanya bersifat sementara dan mudah dilupakan. Oleh itu, tidak hairanlah ramai pelajar menghadapi kesukaran untuk mengingat kembali isi kuliah ketika mengulang kaji atau menjawab peperiksaan.

Ketiadaan amalan menulis dalam kalangan generasi pelapis ini memberi pelbagai kesan negatif. Antaranya ialah penurunan tahap fokus semasa kuliah. Pelajar yang tidak mencatat cenderung mudah hilang tumpuan kerana mereka hanya mendengar secara pasif. Selain itu, mereka juga menghadapi kesukaran untuk mengingati maklumat penting kerana tidak melalui proses penulisan yang membantu pengukuhan memori.

Di samping itu, kemahiran berfikir secara kritis dan analitikal juga terjejas. Tanpa menulis, pelajar kurang berpeluang untuk menilai, membanding dan mengolah maklumat secara mendalam. Ini seterusnya memberi kesan kepada prestasi akademik mereka, terutamanya dalam tugasan yang memerlukan analisis dan penghujahan yang kukuh. Malah, terdapat juga kebimbangan terhadap kemahiran menulis yang semakin merosot, termasuk dari segi struktur ayat, tatabahasa dan kejelasan idea.

Lebih membimbangkan, budaya menulis yang semakin pupus ini turut memberi kesan kepada pembangunan sahsiah dan disiplin diri. Menulis memerlukan kesabaran, ketekunan dan fokus kepada nilai-nilai yang penting dalam kehidupan seharian dan kerjaya masa depan. Tanpa amalan ini, generasi muda mungkin menjadi kurang berdaya tahan dan mudah bergantung kepada teknologi semata-mata.

Tokoh negarawan terkenal Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, pernah berkongsi bahawa beliau mempunyai amalan suka menulis setiap perkara sepanjang hayatnya di mana sahaja beliau berada. Menurut beliau, amalan menulis membantu seseorang berfikir dengan lebih jelas dan teratur. Nasihat ini jelas menunjukkan bahawa menulis bukan sahaja penting dalam pembelajaran, tetapi juga dalam membentuk pemikiran seorang pemimpin.

Sehubungan itu, usaha perlu dilakukan untuk menghidupkan semula budaya menulis dalam kalangan generasi muda kini. Institusi pendidikan boleh memainkan peranan dengan menggalakkan pelajar mencatat nota semasa kuliah, sama ada secara manual atau digital. Pensyarah juga boleh merancang aktiviti pembelajaran yang memerlukan pelajar menulis, seperti refleksi, peta minda atau ringkasan isi kuliah.

Selain itu, kesedaran perlu dipupuk dalam kalangan pelajar tentang kepentingan menulis sebagai satu kemahiran asas yang tidak boleh diabaikan. Teknologi seharusnya digunakan sebagai alat sokongan, bukan pengganti kepada proses pembelajaran yang aktif. Dengan mengimbangi penggunaan teknologi dan amalan menulis, pelajar dapat memperoleh manfaat terbaik daripada kedua-duanya.

Kesimpulannya, budaya menulis yang semakin pupus dalam kalangan Generasi Z merupakan satu isu yang perlu diberi perhatian serius. Walaupun teknologi membawa kemudahan, namun ia tidak seharusnya menghapuskan amalan yang terbukti berkesan dalam meningkatkan pembelajaran dan pembangunan diri. Dengan kesedaran dan usaha berterusan, budaya menulis dapat dihidupkan semula demi melahirkan generasi yang lebih berilmu, berfikir kritis dan berdaya saing._Foto: SHVETS production/Pexels

 

 

 

Dr. Nor Amalina Mohd Sabri

Pensyarah Kanan

Jabatan Kejuruteraan Perisian

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

hasiswaUniversiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 11 Jun 2026: Budaya menulis pelajar universiti semakin pupus? 

Budaya menulis pelajar universiti semakin pupus?

 

2. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com.my), 11 Jun 2026: Budaya menulis pelajar universiti semakin pupus? 

https://sinarbestari.sinarharian.com.my/article/649737/my-ipt/karya-kampus/budaya-menulis-pelajar-universiti-semakin-pupus