CHINA – Bagi memperkasakan lagi bidang pendidikan dan penyelidikan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Naib Canselor, Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim dan beberapa wakil dari beberapa pusat tanggungjawab telah mengambil inisiatif meneroka peluang dan teknologi baharu di tanah besar China pada 3 hingga 9 September 2023 lalu.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, UTHM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dua institusi pengajian tinggi (IPT) di China iaitu Suzhou Centennial College (SCC) dan Southwest Jiaotong University (SWJTU).

SCC adalah institusi pengajian tinggi swasta yang terletak di barat laut Shanghai (wilayah Suzhou), di kawasan Suzhou Industrial Park dan Suzhou Dushu Lake Higher Education Town, yang menempatkan sejumlah besar syarikat nasional dan antarabangsa, serta 33 IPT luar dan dalam negara China.

MoU yang ditandatangan pada 5 September 2023 itu diwakili oleh Naib Canselor UTHM, manakala SCC pula diwakili oleh Presiden Eksekutif, Shiming Li, serta disaksikan oleh Dato’ P.Y. Lai, Academician of the Malaysia Academy of Sciences, dan C.K. Tan, Former General Manager of Global Edu-Tech Management.

Jalinan kerjasama UTHM-SCC ini melibatkan pelaksanaan program pertukaran staf/pelajar serta attachment, program mobiliti jangka pendek/panjang, aktiviti Faculty Led International Program (FLIP), program Dual-Degree (2+2), selain meneroka peluang usahasama pengajian menerusi program ‘bridging’ [Degree (3+1) dan Master (+1)], seperti yang diaplikasikan oleh National University of Singapore Research Institute (NUSRI).

Ketika di SCC, Naib Canselor bersama delegasi turut mengunjungi beberapa pusat tanggungjawab seperti The Global Education Management (GEM) Group, Intelligent Control Lab (ICL), Industrial Internet Platform (IP), Electrical Technique Laboratory, Virtual Simulation Lab (VSL), School of Liberal Arts, dan Center for International Exchange bagi menerokai fungsi dan peranan jabatan akademik dan pentadbiran masing-masing.

Manakala SWJTU pula merupakan sebuah universiti penyelidikan awam yang terletak di utara Chengdu, China, wilayah yang sarat dengan kebudayaan, warisan dan ketamadunan asli China.

Universiti tersebut mempunyai kepakaran yang tinggi dalam bidang Railway Engineering and Technology, yang mana hasil kajian dan penyelidikan bidang ini sering diadaptasi dalam pembangunan infrastruktur serta teknologi rel di China dan diimport ke seluruh dunia.

Komponen pengajian dan penyelidikan Railway Engineering and Technology di SWJTU merangkumi civil engineering (infrastructure), mechanical engineering (train/coach/carriage/wagon/compartment), electrical engineering (power and traction control), transportation engineering (operation) dan computer science (autonomous and simulation systems).

MoU yang dimeterai pada 8 September 2023 itu juga diwakili oleh Naib Canselor UTHM, manakala SWJTU diwakili oleh Timbalan Presiden, Professor Yang Dan, serta disaksikan oleh Professor Ma Lei, Director of Office of International Cooperation and Exchanges.

UTHM-SWJTU akan bekerjasama melalui penganjuran program mobiliti yang berpotensi ke arah pelaksanaan program Dual-Degree (2+2), pertukaran pelajar/staf dan attachment, kerjasama dalam aktiviti penyelidikan dan penyeliaan serta aktiviti pengantarabangsaan seperti adaptasi bahasa dan kebudayaan dalam kejuruteraan dan teknologi.

Naib Canselor dan delegasi UTHM turut mengunjungi makmal pengajian rel SWJTU, bagi memahami bagaimana nilai disiplin, kecekalan, sikap berdaya saing dan kesungguhan mereka dalam menghasilkan teknologi dan produk sendiri mampu menarik kepercayaan rakyat China sekali gus memacu kejayaan wilayah Chengdu dan tanah besar China secara keseluruhannya.