Oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Hisyam Mohd Hashim

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) negara melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Persatuan Pendidikan Teknikal dan Vokasional Malaysia (PPTVM) dalam satu majlis yang berlangsung di Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA) pada 23 April 2026 lalu.

Majlis berprestij itu menyaksikan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkasakan bidang TVET melalui jaringan kerjasama strategik yang melibatkan aspek akademik, penyelidikan, latihan serta pembangunan profesional.

PPTVM merupakan sebuah organisasi profesional yang menghimpunkan pakar, pengamal industri serta institusi berkaitan TVET di Malaysia, dengan matlamat memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal melalui pelbagai inisiatif seperti perkongsian kepakaran, penganjuran program ilmiah dan pembangunan bakat.

Sebagai universiti yang menumpukan kecemerlangan dalam bidang teknikal dan kejuruteraan, UTHM memainkan peranan penting dalam menyokong agenda nasional TVET melalui pelaksanaan program akademik yang relevan serta kolaborasi bersama pihak industri dan organisasi profesional.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM, Profesor Dr. Afandi Ahmad selaku wakil rasmi Naib Canselor berkata, kerjasama itu membuka ruang lebih luas kepada pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi yang dapat memberi manfaat kepada pelajar, pensyarah serta industri.

“Pemeteraian MoU ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara institusi dan organisasi profesional, malah menjadi platform penting untuk memperkasa perkongsian ilmu, kepakaran dan sumber dalam bidang TVET,” katanya.

Sementara itu, Presiden PPTVM, Dr. Lisa Boo Kim Hiok menyifatkan kerjasama itu sebagai langkah signifikan dalam memperluas jaringan kolaborasi strategik antara akademia dan industri.

Melalui MoU itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam penganjuran seminar, persidangan, program latihan serta pelbagai aktiviti ilmiah yang memberi fokus kepada pembangunan TVET negara secara menyeluruh.

Majlis turut dihadiri kira-kira 40 peserta yang terdiri daripada pengurusan tertinggi UTHM, wakil PPTVM serta rakan kolaborasi industri.

UTHM turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada rakan kolaborasi industri antaranya Megaty Property & Management Sdn. Bhd., Jack Law Chambers, Shang Philosophy Group Sdn. Bhd., LSP Pro Skill Academy, Bijaksatu Sdn. Bhd., Link Studio Architect, CTI Consultant Sdn. Bhd., Conzlab Berhad, Adsbox Entertainment Pte Ltd, AK Empower Group Sdn. Bhd., Marq Academy Sdn. Bhd., Aurora Automotive Academy, IPMAN Global Intellect Sdn. Bhd. serta organisasi lain atas sokongan dan komitmen dalam menjayakan inisiatif memperkasa TVET negara.

“Kerjasama itu dijangka menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh kedudukan TVET sebagai pemacu utama pembangunan modal insan berkemahiran tinggi di Malaysia, selaras dengan keperluan industri semasa dan masa hadapan,” tambah Prof. Afandi.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Kosmo (muka surat: 23), 27 April 2026: PPTVM, UTHM bergabung perkasa TVET negara

 

2. Kosmo (kosmo.com.my), 27 April 2026: PPTVM, UTHM bergabung perkasa TVET negara

https://www.kosmo.com.my/2026/04/27/pptvm-uthm-bergabung-perkasa-tvet-negara/