Mobiliti ke Burapha University rancakkan budaya pemindahan ilmu

Oleh Ts. Dr. Lee Te Chuan, Mohammad Alif Mifzal Azman Shah

THAILAND – Dalam usaha meningkatkan budaya pemindahan ilmu dalam disiplin akademik, serta memperkasa rangkaian hubungan negara ASEAN, 14 pelajar Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai Program Mobiliti Antarabangsa Berkredit ke Burapha University, Thailand 2023 pada 1 hingga 7 Oktober lalu.

Menurut Pensyarah FPTP, Ts. Dr. Lee Te Chuan, program ini diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada peserta berkaitan persekitaran dan budaya pembelajaran yang diamalkan oleh Burapha University, selain meneroka perkembangan industri dan warisan kebudayaan di negara Thailand.

“Pelaksanaan program mobiliti itu juga bagi menjalin hubungan erat dua negara yang diwakili dua universiti, UTHM-Burupha University.

“Matlamat utama mobiliti itu juga adalah untuk mencipta rangkaian rentas sempadan yang berupaya meningkatkan pemindahan ilmu, budaya dan ekspresi seni negara,” katanya.

Program mobiliti yang berlangsung selama lima hari di Kampus Chonburi dan Chanthaburi itu diisi dengan beberapa aktiviti antaranya lawatan ke Akuarium Bang Saen, yang mana pelajar berpeluang meneroka kepelbagaian hidupan laut di Thailand serta mendalami ilmu pengurusan dan teknologi yang diguna pakai dalam biodiversiti marin.

Para peserta juga berpeluang menghadiri kelas seni dan tarian di Faculty of Music and Performing Arts sambil menyelami bakat pelajar setempat yang memperkenalkan seni tradisi budaya Thailand.

Selain itu, para peserta turut ke Kampus Chanthaburi untuk melawat makmal-makmal yang serba canggih seperti Makmal Agrikultur dan Makmal Gemologikal sambil berkongsi tentang aktiviti penyelidikan terkini di kampus terbabit.

Manakala sesi lawatan lapangan ke Kung Krabean Bay Mangrove Nature Centre juga diadakan bagi memberi pendedahan kepada peserta berkaitan pengurusan alam sekitar dan penglibatan komuniti, sambil mempelajari kepentingan amalan lestari.

Turut dilaksanakan, pembentangan silang budaya bagi membolehkan pelajar berkongsi budaya unik negara masing-masing sekali gus mewujudkan persefahaman yang lebih mendalam antara dua negara.

Para peserta juga berpeluang menyertai kelas masakan Thai bagi meningkatkan lagi pengetahuan dan seni kulinari mereka sambil mendalami tradisi budaya masakan tempatan.

Sementara itu, Pensyarah FPTP, Ts. Dr. Lee Te Chuan juga telah dijemput untuk memberi kuliah tamu mengenai pengurusan teknologi kepada pelajar-pelajar Burapha University.

Program mobiliti diakhiri dengan lawatan ke Chanthaboon Waterfront Community bagi menghargai gaya hidup tradisional dan pemeliharaan warisan.

“Penganjuran program mobiliti seumpama ini dapat merancakkan lagi aktiviti pemindahan ilmu dalam kalangan pelajar, selain mampu meningkatkan kesedaran mereka terhadap alam sekitar, budaya dan tradisi warisan dua negara.

“Interaksi dan pengalaman seumpama ini pastinya dapat memberi pengetahuan dan pengalaman yang amat berharga kepada pelajar sebelum mereka bergraduasi kelak,” tambah Dr. Chuan.

 

 

 

Categories
AntarabangsaPengurusan Teknologi Perniagaan
Subscribe