Pendidikan adalah kunci untuk membuka pelbagai peluang dan mencapai kejayaan dalam kehidupan. Namun begitu, terdapat trend pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang tidak mahu menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi yang boleh menyebabkan negara  kekurangan tenaga kerja mahir dalam pasaran serta menyebabkan produktiviti dan daya saing negara bakal menurun. Menurut kaji selidik Jabatan Perangkaan Malaysia, kira-kira 390,000 atau 72 peratus pelajar lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran. Walaupun data berkenaan adalah pada tahun 2019, trend ini dijangka akan berterusan dari tahun ke tahun. Selain itu, terdapat juga individu yang terus bekerja selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Diploma, tetapi tiada kelayakan akademik mencukupi untuk menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi. Salah satu alternatif untuk mengangani isu ini adalah menerusi Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

Berdasarkan hasil bengkel Pembangunan Pelan Induk PSH Malaysia 2021, PSH diklasifikasikan sebagai satu proses pembelajaran yang menyeluruh dan berterusan, yang merangkumi semua bentuk aktiviti pembelajaran untuk semua peringkat umur dan latar belakang sosio-ekonomi, bagi memenuhi keperluan pembelajaran yang dilaksanakan dengan pelbagai kaedah. PSH meliputi pembelajaran formal, pembelajaran bukan formal dan pembelajaran tidak formal sebagai bentuk pembelajaran yang saling melengkapi. Pembelajaran formal melibatkan kurikulum berstruktur dan persekitaran pembelajaran formal (seperti di universiti, politeknik dan kolej) serta menghasilkan pengiktirafan formal (diiktiraf badan kelayakan atau melibatkan akreditasi) seperti diploma dan ijazah. Pembelajaran bukan formal pula melibatkan kurikulum berstruktur dan boleh dijalankan di luar persekitaran pembelajaran formal seperti menghadiri latihan, seminar dan persidangan. Manakala, pembelajaran tidak formal  pula berlaku dalam kehidupan seharian dan di luar persekitaran pembelajaran formal seperti dalam komuniti dan tempat kerja.

Dalam usaha untuk mempromosikan dan mewujudkan budaya pembelajaran sepanjang hayat di Malaysia, terdapat pelbagai inisiatif penting yang telah dilaksanakan. Salah satunya adalah inisiatif Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu atau APEL (Accreditation of Prior Experiential Learning). Inisiatif APEL ini dipelopori dan diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia atau Malaysian Qualifications Agency (MQA). APEL merupakan satu proses sistematik yang melibatkan identifikasi, dokumentasi dan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu. Penilaian APEL mengambil kira pembelajaran formal, pembelajaran bukan formal, dan pembelajaran tidak formal. APEL terbahagi kepada APEL.A, APEL.M, APEL.C, dan APEL.Q.

APEL.A dan APEL.M boleh digunakan untuk tujuan melanjutkan pengajian akademik dalam bidang yang relevan dengan pembelajaran dan pengalaman terdahulu. APEL.A menyediakan laluan / akses kemasukan alternatif kepada mereka yang memiliki pendidikan formal yang kurang mencukupi untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi. Sebagai contoh, APEL A memberi peluang untuk individu yang mempunyai diploma dan pengalaman kerja berkaitan untuk terus menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana, tanpa melalui pengajian sarjana muda. Setelah berjaya memiliki ijazah sarjana, individu berkenaan boleh memohon jawatan yang lebih tinggi berbanding diploma dan boleh memperoleh gaji yang lebih baik.  APEL.M pula melibatkan pengumpulan kelayakan-micro (Micro-credentials). Individu yang telah mengumpul kredit melalui kelayakan mikro yang berkaitan dengan program akademik yang diakreditasi kini boleh memohon ke program pengajian tinggi melalui laluan APEL.M, sekiranya mereka tidak memenuhi kelayakan kemasukan program akademik yang diperlukan.

APEL.C dan APEL.Q boleh mengurangkan masa dan kos untuk menamatkan pengajian akademik. APEL.C memberi peluang untuk pindah kredit bagi kursus / subjek dalam program akademik yang sedang diikuti. Sebagai contoh, seorang guru berpengalaman telah diterima masuk ke program Sarjana Pendidikan Teknik dan Vokasional. Beliau boleh memohon untuk mendapatkan pindah kredit bagi kursus / subjek ‘Pengajaran Mikro’ dalam program berkenaan berdasarkan pengalaman mengajar dan latihan yang relevan yang beliau pernah diikuti sebelum ini.  APEL.Q pula membolehkan individu untuk mendapatkan penganugerahan kelayakan akademik bagi program yang dimohon. Sebagai contoh, seorang pemilik syarikat yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berpengalaman boleh memohon program Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) menerusi APEL.Q. Beliau boleh memohon untuk mendapatkan penganugerahan kelayakan akademik bagi program berkenaan berdasarkan pengalaman pentadbiran perniagaan, pembelajaran formal dan pembelajaran bukan formal yang diikuti sebelum ini berkaitan subjek-subjek yang ditawarkan seperti pengurusan kewangan, pengurusan sumber manusia, etika perniagaan dan tadbir urus korporat, undang-undang perniagaan, pengurusan strategik, pemasaran dan pengurusan operasi.

Sesiapa yang berminat untuk menyambung pengajian akademik ke peringkat lebih tinggi boleh memohon dan membuat penilaian APEL di Pusat Penilaian APEL. Salah satu Pusat Penilaian APEL yang dilantik dan diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)  adalah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). UTHM merupakan Pusat Penilaian APEL yang pertama yang mendapat kelulusan MQA dalam kalangan Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia atau Malaysian Technical University Network (MTUN).

APEL menjadikan sistem pendidikan tinggi kita lebih fleksibel dan setanding negara maju yang rata-ratanya telah mengiktiraf pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu.  Oleh itu, marilah kita bersama mewujudkan budaya pembelajaran sepanjang hayat di Malaysia. Jadikan pembelajaran sebagai gaya hidup. Teruslah belajar sepanjang hayat menerusi program akademik, latihan serta pembelajaran yang diperolehi melalui komuniti dan tempat kerja. Pendidikan adalah aset berharga dalam kehidupan manusia yang dapat memberi harapan dan masa depan yang cerah bagi rakyat Malaysia, terutama bagi mereka yang ingin terus berdaya saing dalam dunia yang serba mencabar ini.

 

Profesor Madya Ts. Dr. Musli Mohammad

Pengarah Pusat Pembelajaran Berterusan dan APEL

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Artikel ini juga diterbitkan pada

1.Bernama (bernama.com) : Pembelajaran Sepanjang Hayat Lahirkan Generasi Berdaya Saing
https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2220206