“Siapakah tokoh teknousahawan terkenal yang kalian kenal? Sila namakan siapakah mereka?” Ini adalah antara soalan-soalan yang dilontarkan kepada mahasiswa semasa dalam kuliah. Mahasiswa diminta untuk memberikan contoh-contoh syarikat teknousahawan sebagai topik pembentangan dan perbincangan di dalam kuliah yang dijalankan secara dalam talian sebagai strategi menggalakkan interaksi dua hala.

Berdasarkan pembentangan dan perbincangan tersebut, nama-nama syarikat gergasi terkenal dunia seperti Microsoft, Apple, Facebook, Grab, Tesla, Google, Uber, Amazon, YouTube, Shopee dan Food Panda menjadi tren perbincangan hangat dalam kalangan mereka.

Sebaliknya, hanya beberapa sahaja nama jenama tempatan yang diperolehi hasil daripada perbincangan seperti FashionValet, Job Street, Air Asia, HALO Delivery dan ButikAilyQairy. Hasil daripada analisis tren perbincangan dalam kalangan mahasiswa, tokoh-tokoh teknousahawan yang mereka lebih kenali adalah terdiri daripada Bill Gates, Steve Job, Mark Zuckerberg, Elon Musk berbanding dengan nama tokoh-tokoh usahawan tempatan seperti Mark Chang Mun Kee, Vivi Yusof, Tony Fernandes, Vach Pillutla dan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Jelas sekali, jika dilihat daripada ciri-ciri setiap teknousahawan bertaraf global tersebut, kesemua mereka mempunyai ciri-ciri yang hampir sama iaitu, berani mencuba sesuatu yang baharu, berani mengambil risiko, kreatif dan inovatif, bijak mengambil peluang terhadap permasalahan yang wujud serta menggunakan teknologi di dalam perusahaan mereka. Kerana itu mereka dikenali sebagai teknousahawan bertaraf global. Namun begitu, terdapat juga sebilangan usahawan tempatan yang namanya begitu gah di persada dunia tetapi bilangannya masih terhad.

Apakah yang dikatakan sebagai teknousahawan? Teknousahawan adalah bidang keusahawanan yang mengaplikasi dan menggunakan kepakaran teknologi dalam pengeluaran produk, perkhidmatan, pengurusan perniagaan dan membuat keputusan berkaitan perniagaan. Dalam konteks di Malaysia, terma ‘teknousahawan’ biasanya merujuk kepada keusahawanan atau perniagaan yang berasaskan internet dan teknologi komputer.

Model teknousahawan juga merupakan model untuk memperkasakan kapasiti dan kapabiliti usahawan sedia ada kepada usahawan yang berskala perusahaan kecil, sederhana (PKS) dan besar mengikut kluster masing?masing yang dilaksanakan melalui kerjasama Rakan Pintar Teknologi yang merangkumi pihak institusi pendidikan tinggi, institusi latihan kemahiran, agensi dan badan kerajaan penyedia teknologi atau sektor swasta yang mempunyai kepakaran berasaskan penyelidikan dan teknologi strategik.

Model teknousahawan biasanya bermatlamat ke arah peningkatan dan pengukuhan teknousahawan sebagai peneraju atau pemain industri yang mampu menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Domestik Kasar (GDP), kewujudan industri-industri baharu dan penyedia peluang-peluang pekerjaan baharu negara oleh PKS.

Pemilihan strategi utama model teknousahawan ialah adalah faktor kritikal dalam kejayaan mencapai matlamat gagasan ini menerusi usaha-usaha mempertingkatkan kapasiti dan kapabiliti usahawan melalui pendekatan akademik, teknologi, teknikal, generik dan keusahawanan.

Bukan itu sahaja, malahan untuk menjadi seorang teknousahawan yang bertaraf global, individu itu perlu mempunyai sifat daya kreatif dan ciri-ciri penting iaitu bersemangat, berani mengambil risiko, mempunyai nilai-nilai yang tinggi, sentiasa berfikiran terbuka dan positif, berani untuk mencuba sesuatu yang baharu, dan sentiasa mempunyai matlamat yang jelas serta berobjekif dalam sesuatu keputusan yang diambil.

Secara asasnya, setiap teknousahawan mempunyai keupayaan untuk berfikir secara bijak dan kreatif. Segelintir teknousahawan akan lebih sedar tentang cara untuk merangsang dan memberi ruang kepada kreativiti mereka berbanding orang lain hasil daripada pemerhatian, temubual dan penyelidikan.

Kreativiti merupakan sesuatu berkaitan dengan minda yang mana ia boleh dipelajari. Melalui latihan dan aplikasi yang sentiasa digunakan, kreativiti dapat diperkembangkan lagi ke suatu tahap yang lebih baik. Oleh itu, untuk menjadi seorang teknousahawan yang inovatif, mereka perlu sentiasa membuka minda untuk mempelajari menjadi kreatif.

Selain itu, kreativiti melibatkan pembangunan ‘sesuatu’ yang unik, terkini dan baharu terhadap penyelesaian masalah dan peluang yang wujud. Kreativiti juga penting dalam menyahut cabaran lengkap dalam persekitaran perniagaan yang dinamik. Ini kerana ia melibatkan keupayaan untuk menghasilkan karya yang baharu, asli dan tidak terjangkau dek akal fikiran (langsung tidak dijangka), berkualiti tinggi dan sesuai mengikut peredaran semasa selain ianya berguna dan memenuhi kekangan tugas.

Organisasi yang berteraskan teknousahawan, perlu bergerak ke arah pendigitalan organisasi, peningkatan bakat dan kecekapan operasi organisasi tersebut. Elemen ini penting sebagai tulang belakang dalam perancangan organisasi agar selari dengan perkembangan semasa dan masa hadapan dunia.

 

 

 

Anim Zalina Azizan

Penyelidik Kumpulan Fokus Techno Bizz

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)