PAGOH – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima kemasukan 666 pelajar baharu bagi program diploma pada hari pertama pendaftaran yang berlangsung pada 30 Jun lalu bertempat di Kampus Cawangan Pagoh.

Pendaftaran kali ini menyaksikan jumlah pelajar lelaki yang mendaftar adalah seramai 442 orang manakala 224 lagi merupakan pelajar perempuan.

Pendaftaran pelajar baharu tersebut melibatkan tiga lokasi iaitu Kolej Kediaman Pagoh 1 seramai 394 orang, Kolej Kediaman Pagoh 2 seramai 160  pelajar dan Kolej Kediaman Pagoh 3 pula seramai 112 orang.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni; Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad bersama Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Dato Dr. Abdul Razak Haji Omar turut hadir ke lokasi pendaftaran untuk beramah mesra dengan ibu bapa yang hadir menemani anak-anak mereka.

Abdul Razak ketika ditemubual menyatakan harapannya kepada pelajar-pelajar baharu supaya tidak melepaskan peluang untuk menimba ilmu di universiti ini sebaik mungkin.

“Universiti merupakan sebuah gedung ilmu yang mana para penuntutnya perlu merebut peluang untuk mengaut sebanyak mungkin pengetahuan bagi meraih kecemerlangan,” katanya.

Tambahnya lagi, pihak universiti akan sentiasa membantu dan berusaha menjadikan kampus cawangan ini sebagai sebuah Pusat Pembangunan Perbandaran Pagoh sekali gus mampu menjana ekonomi setempat agar terus berkembang maju.

Antara pelajar yang ditemui semasa Minggu Transformasi Mahasiswa, Syaza Nurbatrisyia Mohd Razif, 18  ketika ditemubual menyatakan dia memilih kursus kejuruteraan awam di universiti ini kerana mempunyai minat yang mendalam selain mendapat sokongan penuh daripada keluarga.

“Saya bercita-cita untuk menjadi seorang arkitek dan ingin merealisasikan harapan kedua ibu bapa yang ingin melihat saya berjaya dalam kerjaya yang diceburi. Menimba ilmu di UTHM adalah sebagai permulaan kepada saya yang berhasrat mahu menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi mungkin sehingga ke luar negara dalam bidang yang sama,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Eemersson Kissol, 18 dari Sabah pula berkata walaupun negeri Johor agak jauh daripada tempat kelahirannya, ia langsung tidak menjadi halangan untuk dia meneruskan cita-cita menjadi seorang jurutera yang profesional.

“Saya hadir ke Johor hanya bersama abang sulung yang banyak memberi sokongan dan motivasi kepada saya untuk menyambung pengajian di universiti ini dan berguru dengan tenaga pengajar yang profesional dalam bidang masing-masing,” katanya.

Bagi Tarvimraj Subramaniam, 20, yang berasal dari Johor memilih UTHM kerana baginya universiti ini adalah satu pilihan yang tepat dan merupakan pilihan keluarga juga. Program kejuruteraan awam di UTHM sangat releven dan menepati keperluan industri.

“Impian saya untuk menjadi seorang jurutera awam bukan kerana populariti dan pendapatan lumayan semata tapi saya sangat tertarik dengan kejuruteraan awam sejak kecil lagi,” katanya.

Para pelajar yang baharu mendaftar ini diwajibkan mengikuti Minggu Transformasi Mahasiswa (MTM) yang dijalankan selama seminggu. Antara pengisian MTM adalah Sesi Bersama Kepimpinan Negara dan Kepimpinan Universiti, Sesi Bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Provost dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) selain beberapa sesi taklimat seperti Taklimat Pengenalan Universiti, Taklimat Pusat Teknologi Maklumat, Taklimat Pinjaman Pendidikan, Perpustakaan, Tatatertib Pelajar dan juga Keselamatan.