Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 4 Jun 2026 – Lebih 2,000 mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berpeluang berinteraksi secara langsung dengan Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi menerusi Program Ayuh Johor Mahasiswa UTHM yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Program anjuran Institut Dato’ Onn (IDO) dengan kerjasama UTHM itu menjadi platform strategik untuk merapatkan hubungan antara mahasiswa dan Kerajaan Negeri Johor, di samping memberi pendedahan berkaitan agenda pembangunan negeri menerusi gagasan Maju Johor 2030.

Program tersebut turut memberi ruang kepada mahasiswa menyuarakan pandangan, berkongsi aspirasi serta memahami peranan mereka sebagai pemimpin masa depan negeri dan negara.

Menteri Besar Johor dalam ucapannya menegaskan bahawa pembangunan modal insan dan bakat anak muda terus menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi memastikan Johor memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri masa kini dan masa hadapan.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan lebih RM106.32 juta bagi sektor pendidikan dan pembangunan mahasiswa pada tahun ini sebagai bukti komitmen berterusan dalam memperkasa agenda pendidikan serta kebajikan anak Johor.

“Mahasiswa merupakan aset paling bernilai dalam menentukan masa depan Johor.

Kerajaan Negeri akan terus menyediakan pelbagai inisiatif yang mampu meningkatkan akses pendidikan, pembangunan bakat dan kebolehpasaran graduan agar tiada anak Johor yang tercicir daripada arus pembangunan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sejak 2023 telah memberi manfaat kepada lebih 400,000 mahasiswa anak Johor melalui bantuan pendidikan, skim pinjaman pelajaran, bantuan komputer riba, biasiswa serta pelbagai program pembangunan mahasiswa.

Selain itu, mahasiswa UTHM turut menerima khabar gembira apabila Menteri Besar mengumumkan pemberian Insentif Mahasiswa Anak Johor (IMAJ) Khas berjumlah RM200 seorang bagi membantu meringankan beban kos sara hidup dan kewangan mahasiswa.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq selaku wakil rasmi Naib Canselor menyifatkan program tersebut sebagai satu inisiatif yang signifikan dalam memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan tinggi dan Kerajaan Negeri Johor.

Beliau berkata, pendedahan secara langsung kepada dasar dan hala tuju pembangunan negeri mampu meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap peranan mereka dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta kemajuan negeri Johor.

Program berkenaan turut diisi dengan sesi dialog terbuka atau townhall yang membolehkan mahasiswa mengemukakan pelbagai persoalan berkaitan pendidikan, peluang kerjaya, pembangunan bakat, kesejahteraan mahasiswa serta agenda pembangunan negeri.

Melalui program itu, UTHM terus memainkan peranan sebagai institusi pendidikan tinggi yang komited melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada pembangunan Johor serta negara sejajar dengan aspirasi Maju Johor 2030.