Ketidaktentuan geopolitik global yang semakin memuncak, khususnya konflik berterusan di Asia Barat, sekali lagi menonjolkan betapa rapuhnya struktur keselamatan tenaga dunia. Rantau tersebut kekal sebagai nadi utama pengeluaran petroleum global dan sebarang ketegangan yang berlaku bukan sahaja mengganggu kestabilan bekalan, malah mencetuskan turun naik harga minyak mentah yang memberi kesan langsung kepada ekonomi dunia. Dalam keadaan ini, kenderaan elektrik atau electric vehicle (EV) sering diketengahkan sebagai alternatif yang mampu mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil. Namun, persoalan yang lebih mendalam wajar diajukan: adakah peralihan ini benar-benar membawa kebebasan tenaga, atau sekadar mengubah bentuk kebergantungan yang sedia ada?

Kenaikan harga minyak

Kenaikan harga minyak mentah akibat konflik geopolitik memberi kesan segera kepada kos sara hidup. Harga bahan api yang meningkat akan mendorong kenaikan kos pengangkutan dan seterusnya mempengaruhi harga barangan serta perkhidmatan. Menurut International Energy Agency (IEA), Oil Market Report ketegangan geopolitik boleh menyebabkan lonjakan harga minyak mentah sehingga 20 hingga 30 peratus dalam tempoh singkat, sekali gus mencerminkan sensitiviti pasaran tenaga global terhadap faktor bukan ekonomi semata-mata. Keadaan ini memperlihatkan bahawa kebergantungan berlebihan terhadap minyak menjadikan ekonomi global terdedah kepada ketidaktentuan yang sukar dikawal.

EV tampil sebagai harapan baharu

Dalam konteks ini, EV muncul sebagai pilihan yang dilihat lebih stabil dan mampan. Dengan kos operasi yang lebih rendah serta keupayaan untuk digabungkan dengan sumber tenaga boleh diperbaharui, EV sering digambarkan sebagai masa depan mobiliti global. Malah, Laporan Global EV Outlook 20242, sebanyak 14 million kereta EV telah didaftarkan dan trend jualan EV terus meningkat lebih 35 peratus pada tahun 2023, situasi ini mencerminkan keyakinan pengguna dan industri teknologi EV ini semakin mendapat perhatian. Naratif yang dibina jelas menunjukkan semakin ramai pengguna beralih kepada EV, semakin berkurang kebergantungan terhadap penggunaan bahan api petrol atau diesel.

Kebergantungan mineral

Namun demikian, gambaran ini tidak sepenuhnya mencerminkan realiti yang lebih kompleks. Penghasilan bateri EV memerlukan mineral kritikal seperti litium, kobalt dan nikel, yang tertumpu di beberapa kawasan geopolitik tertentu. Laporan Bank Dunia menganggarkan bahawa permintaan terhadap mineral ini boleh meningkat hingga 200 peratus menjelang 2050 bagi menyokong agenda peralihan tenaga global³. Kebergantungan terhadap sumber ini membuka dimensi baharu risiko geopolitik, termasuk isu monopoli sumber, ketidakseimbangan kuasa pasaran dan ketidakstabilan bekalan.

Tukar bentuk kebergantungan, bukan menghapuskannya

Hakikatnya, peralihan kepada EV tidak menghapuskan kebergantungan terhadap sumber strategik, sebaliknya hanya mengalihkannya. Jika sebelum ini dunia bergantung kepada minyak mentah dari Asia Barat, kini kebergantungan tersebut beralih kepada mineral dari wilayah lain yang juga tidak terlepas daripada risiko geopolitik. Justeru, naratif EV sebagai ‘penyelamat mutlak’ adalah terlalu simplistik. Justeru, ia perlu dinilai semula secara lebih kritikal dan realistik. Peralihan daripada enjin pembakaran dalaman kepada bateri elektrik bukan sekadar perubahan teknologi, tetapi melibatkan keseluruhan ekosistem ekonomi, politik dan sumber global. Dalam erti kata lain, dunia mungkin tidak keluar daripada kitaran kebergantungan, tetapi sekadar menukar bentuknya.

Malaysia di persimpangan kesiapsiagaan

Dalam konteks Malaysia, persoalan kesesuaian EV menjadi lebih signifikan. Kerajaan Malaysia telah mempamerkan usaha progresif ke arah kelestarian dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan penggunaan EV, termasuk insentif cukai dan pembangunan infrastruktur pengecasan. Namun begitu, tahap kesiapsiagaan ekosistem EV di Malaysia masih berada pada fasa pembangunan. Setakat ini, jumlah stesen pengecasan masih belum mencukupi untuk menyokong penggunaan EV secara meluas, khususnya di kawasan luar bandar. Selain itu, isu masa pengecasan dan kebolehcapaian kemudahan turut menjadi kekangan praktikal kepada pengguna.

Kos pemilikan EV

Selain itu, dari sudut ekonomi individu, pemilikan EV masih memerlukan kos permulaan yang tinggi. Dalam keadaan harga minyak mentah yang tidak menentu, EV mungkin kelihatan sebagai pelaburan yang bijak dengan potensi penjimatan dalam jangka panjang. Realitinya, tidak semua pengguna mempunyai kemampuan kewangan untuk membuat pelaburan awal dengan kos yang agak tinggi untuk pembelian EV. Dalam keadaan ini, peralihan kepada EV berisiko mewujudkan jurang baharu antara golongan yang mampu dan tidak mampu, sekali gus menimbulkan persoalan keadilan dalam transformasi tenaga.

EV bukan solusi tunggal

Lebih penting lagi, EV tidak boleh dilihat sebagai solusi tunggal kepada isu keselamatan tenaga. Ia perlu difahami sebagai sebahagian daripada strategi yang lebih luas, termasuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui, peningkatan kecekapan tenaga dan diversifikasi sumber tenaga negara. Konflik di Asia Barat telah menjadi peringatan jelas bahawa kebergantungan kepada satu sumber utama adalah satu kelemahan strategik yang perlu ditangani secara menyeluruh.

Antara harapan dan realiti

Justeru, persoalan sama ada EV merupakan jawapan tuntas atau sekadar ilusi strategik tidak mempunyai jawapan yang mutlak. Sebaliknya, ia bergantung kepada bagaimana teknologi tersebut diintegrasikan dalam konteks ekonomi, dasar dan realiti sosial sesebuah negara. Walaupun teknologi ini menawarkan potensi yang besar dalam mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan bahan bakar api, namun pada masa yang sama memperkenalkan bentuk kebergantungan baharu yang juga terdedah kepada risiko global. Oleh itu, pendekatan yang lebih seimbang dan realistik amat diperlukan dalam menilai peranan EV dalam masa depan tenaga.

Kesimpulannya, dalam dunia yang semakin bergolak, peralihan daripada minyak mentah kepada bateri bukanlah satu bentuk pembebasan mutlak, tetapi satu transformasi yang sarat dengan peluang dan cabaran. Kebijaksanaan terletak pada keupayaan untuk menilai secara kritikal, bukan sekadar menerima naratif yang kelihatan menjanjikan. Masa depan tenaga tidak ditentukan oleh satu teknologi semata-mata, tetapi oleh sejauh mana kita mampu mengimbangi antara inovasi, dasar dan realiti geopolitik yang sentiasa berubah.

 

 

Dr. Nor Kamariah Kamaruddin
Pensyarah Kanan
Jabatan Pengurusan dan Teknologi
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Mohd Zulkernain Iskandar Ramlee
Penulis Bebas

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Bernama (bernama.com), 11 Mei 2026: Krisis Minyak Mentah: EV Solusi Tuntas Atau Sekadar Ilusi Strategik? 

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2553973