Malaysia kini berada di kedudukan yang cukup membanggakan di persada global. Berdasarkan laporan Global Peace Index (GPI) 2025, negara kita berjaya menduduki tangga ke-13 sebagai negara paling aman di dunia dan kedua paling aman di Asia Tenggara. Pencapaian ini manifestasi kepada kestabilan sosiopolitik yang stabil dan mampan.
Laporan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 pula mencatatkan skor keseluruhan 0.701 iaitu satu tahap yang dikategorikan sebagai “Sederhana Tinggi”. Walau bagaimanapun, sub-indikator bagi hubungan sosial rentas etnik kekal mencabar. Manakala isu media pula masih menjadi faktor defisit sosial yang perlu diberi perhatian pada peringkat nasional.
Selama ini, kita sering melihat isu media hanya dari sudut kandungan seperti lambakan ucapan kebencian (hate speech), penularan berita palsu dan fitnah serta kandungan sensitif. Walau bagaimanapun, ancaman baru media tambah membimbangkan kini bersifat teknikal iaitu polarisasi digital yang dipacu oleh algoritma media sosial.
Dalam arus pemodenan digital hari ini, media sosial bukan lagi sekadar alat komunikasi, malah ia telah menjadi “arkitek” kepada pemikiran generasi belia kita. Namun, di sebalik kemudahan ini, terdapat ancaman halus yang mampu menggugat perpaduan nasional iaitu algoritma media sosial yang mewujudkan jurang polarisasi yang semakin mendalam dalam kalangan belia.
Menurut artikel penyelidikan “Trap of Social Media Algorithms” (2025) mendedahkan bahawa algoritma media sosial seperti TikTok, YouTube dan Instagram berfungsi sebagai “perangkap” yang hanya menyajikan kandungan berdasarkan minat dan tingkah laku sedia ada pengguna. Fenomena ini mewujudkan filter bubbles (gelembung penapis) dan echo chambers (ruang gema). Kesannya golongan belia hanya mendengar suara yang “sama” dengan mereka dan jarang sekali didedahkan kepada perspektif yang berbeza.
Ancaman filter bubbles dan echo chambers digital terhadap keharmonian di sebuah negara majmuk seperti Malaysia amat berbahaya. Filter bubbles menyaring apa yang kita lihat berdasarkan profil data kita sahaja. Apabila belia hanya didedahkan kepada naratif kelompok sendiri, mereka tidak lagi melihat naratif rentas etnik. Ini menyebabkan hubungan rentas etnik menjadi rendah kerana belia Malaysia hidup dalam “realiti digital” yang berbeza hingga menyebabkan rasa curiga dan prasangka meningkat.
Fitnah dan ucapan kebencian menjadi lebih berbahaya apabila berada dalam persekitaran teknikal echo chambers. Sistem menghubungkan individu yang mempunyai kecenderungan pemikiran yang sama. Dalam ruang ini, fitnah terhadap kaum atau agama lain tidak dicabar. Sebaliknya, ia disahkan dan diperkukuh oleh ahli kumpulan yang sealiran. Isu media umum seperti fitnah bertukar menjadi polarisasi digital yang membarah kerana tiada “suara lawan” yang masuk untuk membetulkan persepsi tersebut.
Artikel yang sama juga mendedahkan yang algoritma mempunyai kecenderungan untuk mempromosikan ke arah kandungan yang lebih ekstrem dan sensasi demi mengekalkan perhatian dan tahap interaksi pengguna. Dalam konteks ini bermakna isu-isu sensitif berkaitan 3R (Raja, Agama, Kaum) misalnya boleh dieksploitasi oleh algoritma untuk menjadi tular, sehingga menyebabkan belia berasa bahawa kumpulan mereka sentiasa “terancam” oleh kumpulan lain. Di negara majmuk seperti Malaysia, naratif kebencian atau provokasi yang tular di dalam ruang gema digital boleh mencetuskan ketegangan di alam nyata.
Media sosial adalah ruang pembentukan identiti belia. Namun, kajian mendedahkan bahawa echo chambers sering kali menggunakan humor dan bahasa kumpulan untuk mengukuhkan rasa kekitaan. Bahayanya, rasa kekitaan ini sering dibina atas dasar “kita lawan mereka”. Apabila identiti digital ini menjadi terlalu ekstrem, toleransi terhadap kepelbagaian yang menjadi nadi Malaysia akan semakin menipis.
Oleh itu, untuk menangani polarisasi digital, Malaysia bukan sahaja perlu mengawal kandungan (isu media), tetapi juga perlu meningkatkan literasi algoritma supaya belia sedar bagaimana aspek teknikal ini memanipulasi persepsi mereka terhadap kaum dan agama lain. Bagi memastikan Malaysia kekal aman dan bersatu, kita perlu membina ‘Literasi Algoritma’ yang komprehensif:
- Pendidikan Literasi Algoritma: Literasi digital tidak lagi memadai sekadar tahu menggunakan peralatan ICT seperti komputer dan telefon pintar. Belia perlu dididik tentang bagaimana algoritma berfungsi memanipulasi emosi dan pandangan mereka. Mereka perlu diajar untuk menjadi “pengguna kritis” yang sengaja mencari maklumat daripada sumber yang berbeza bagi memecahkan gelembung sendiri.
- Tanggungjawab Kolektif: Kerajaan dan badan kawal selia perlu menuntut ketelusan daripada pemilik platform media sosial. Algoritma pengesyoran tidak seharusnya membenarkan kandungan yang memecahbelahkan masyarakat tular dengan mudah atas nama engagement. Mengambil inspirasi daripada langkah antarabangsa seperti Akta Perkhidmatan Digital (DSA), Malaysia memerlukan kerangka perundangan baharu untuk memastikan penyedia platform media sosial lebih bertanggungjawab dalam mengawal selia algoritma mereka. Langkah ini kritikal bagi memastikan saringan kandungan yang lebih telus. Ini sekali gus menyekat penyebaran naratif yang mempromosikan polarisasi digital dalam masyarakat.
- Dialog Silang Budaya Digital: Kita memerlukan lebih banyak kempen dan kandungan yang mempromosikan nilai moderasi yang dihasilkan secara kreatif untuk menembusi gelembung-gelembung digital ini.
Kesimpulannya, perpaduan terletak di tangan belia yang matang dan mampu menghargai perbezaan adalah jaminan masa depan Malaysia. Jika belia membiarkan algoritma terus menentukan siapa kawan dan siapa lawan dalam dunia digital, mereka sebenarnya sedang menyerahkan masa depan negara kepada mesin yang tidak mempunyai nilai kemanusiaan.
Sudah tiba masanya belia Malaysia bangkit untuk meruntuhkan tembok digital yang memisahkan mereka. Masa depan Malaysia yang harmoni bukan terletak pada skrin telefon tetapi pada keberanian kita untuk melangkah keluar dari gelembung sendiri dan kembali merangkul kepelbagaian di alam nyata.

Profesor Madya Dr. Khairol Anuar bin Kamri
Ketua Kumpulan Fokus
Sustainable Community, Culture and Economic Development (SUCCEED)
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
