Sedekad lalu, kemajuan teknologi diukur melalui kepantasan kita bertukar maklumat. Namun, menjelang tahun 2026, trend global menunjukkan peralihan drastik. Masyarakat kini mula memilih “kesunyian”. Istilah Deep Reset menerusi amalan Digital Fasting (puasa digital) bukan lagi sekadar hobi kelompok kecil, tetapi sudah menjadi keperluan survival mental di arus perdana ini.

Limpahan maklumat yang tidak ditapis dan kewujudan algoritma yang mengejar perhatian manusia 24 jam sehari telah mencetuskan fenomena kepenatan kognitif. Kebimbangan mengenai Digital Fasting bukan sekadar rekaan pakar psikologi, malah ia disokong oleh data yang membimbangkan. Dr. Gloria Mark dari University of California, menerusi kajian mendalamnya mendedahkan satu realiti yang menggerunkan apabila data menunjukkan kemampuan manusia untuk fokus pada satu tugasan digital kini hanya bertahan selama 47 saat berbanding 150 saat pada tahun 2004. Dalam tempoh dua dekad ini, kemampuan kita untuk fokus telah ‘dicuri’ oleh algoritma yang tidak pernah tidur.

Digital Fasting muncul sebagai mekanisme pertahanan. Ia bukan lagi sekadar mematikan telefon pintar selama sejam, tetapi satu rombakan gaya hidup yang menekankan kualiti berbanding kuantiti sambungan digital. Jika dahulu, memiliki peranti tercanggih adalah simbol status, kini kemewahan sebenar diukur melalui kemampuan seseorang untuk “hilang” daripada radar digital. Di kota-kota besar, kita melihat kebangkitan ‘Kafe Analog’ yang membawa diri kita lari daripada kehidupan digital. Berada di kafe analog seolah memberi peluang kepada diri untuk kembali mengenang zaman kecil kita melalui hiasan yang berkisar tentang hobi dan minat seperti piring hitam, kamera filem dan radio lama. Persekitaran ini membuatkan diri seakan kembali merasai kehidupan masa lalu.

Kini, masyarakat mula menyedari bahawa kebahagiaan tidak terletak pada jumlah timbunan likes di media sosial yang bersifat kosmetik, tetapi pada kedalaman interaksi manusia secara bersemuka. Amalan Deep Reset ini memberi ruang kepada otak untuk kembali ke fasa default mode network yang mana keadaan kreativiti dan refleksi diri berlaku. Antara langkah yang kini menjadi norma masyarakat termasuklah mewujudkan ruang di rumah yang bebas teknologi sepenuhnya seperti di meja makan dan bilik tidur.

Kesimpulannya, walau dunia semakin canggih namun biologi manusia tetap sama. Kita memerlukan masa untuk “berhenti seketika”. Deep Reset melalui Digital Fasting adalah satu revolusi senyap untuk mengambil semula hak milik ke atas masa dan minda kita sendiri. Dalam dunia yang tidak pernah berhenti bercakap, diam adalah suatu kekuatan baharu.

 

Farhawahidah binti Ahmad Puad,

Pegawai Belia dan Sukan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 28), 11 Mei 2026: Ubah gaya hidup: Berhenti seketika guna media sosial 

 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 11 Mei 2026: Ubah gaya hidup: Berhenti seketika guna media sosial 

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2026/05/ubah-gaya-hidup-berhenti-seketika-guna-media-sosial/