Oleh Profesor Madya Dr. Haryati Shafii
BATU PAHAT – Bertemakan kitar semula, Jabatan Pengurusan Pembinaan (JPP), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) di bawah subjek Pengurusan Alam Sekitar telah mengadakan pameran ‘Jom Kitar Semula di Sekolah Pintas Raya (SPiRa), Parit Raja, Batu Pahat bermula pada 15 Jun hingga 6 Julai 2023 lalu.
Program SULAM di bawah bimbingan pensyarah, Profesor Madya Dr. Haryati Shafii dan dibantu oleh Profesor Dr. Seow Ta wee itu bertujuan mendidik murid sekolah membudayakan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian.
Menurut Dr. Haryati, pelaksanaan program itu juga bagi menzahirkan keprihatinan universiti dalam menyebarluaskan ilmu kepada komuniti khususnya dalam meningkatkan kesedaran mereka menjaga alam sekitar.
Tambah beliau, para pelajar subjek Pengurusan Alam Sekitar juga berpeluang mendapat pengalaman baharu apabila mendekati komuniti sekolah sekali gus dapat berkongsi ilmu dan pengalaman yang diperolehi mereka sepanjang pengajian.
Seramai 132 pelajar tahun tiga JPP yang diketuai oleh Mohamad Hanif Fakhrullah Mohd Hamidi telah terlibat dalam prpgram pameran tersebut.
Mohamad Hanif berkata pelaksanaan program tersebut juga melibatkan penilaian aktiviti pelajar dalam bilik darjah bersama murid dan pembentangan semasa pameran dijalankan.
“Lima orang Panel telah dilantik bagi menilai komunikasi, kerja berpasukan dan kaedah program yang telah dijalankan.
“Aktiviti dalam bilik darjah telah dijalankan mengikut kumpulan bagi memberi pengetahuan dan kefahaman kepada murid berkaitan jenis-jenis sisa yang boleh dikitar semula,” katanya.
Pelbagai pendekatan seperti pertandingan melukis dan mewarna poster, kuiz dan tayangan video bergambar telah digunakan oleh pelajar Pengurusan Alam Sekitar untuk menarik minat murid sekolah terbabit.
“Kami berasa teruja melihat para murid menunjukkan minat yang mendalam ketika menyertai semua aktiviti yang dijalankan sepanjang program berlangsung,” kata Mohamad Hanif.
Sementara itu, Guru Besar SPiRa, Cikgu Yuasmadi Selamat berkata program kesedaran alam sekitar itu telah memberi manfaat yang besar kepada murid-muridnya.
“Semoga program seumpama ini dapat diteruskan bukan sahaja kepada warga sekolah, bahkan diperluaskan kepada institusi lain di daerah Batu Pahat ini agar manfaatnya dapat dirasai oleh semua,” katanya.