UTHM cipta peluang perniagaan untuk pelajar B40 dan komuniti setempat

20 usahawan muda dari KKDK UTHM bergambar dengan produk sos cili yang dihasilkan.

Oleh Muhaymin Hakim Abdullah, Ts. Dr. Mohd Azham Azmi

MERSING – Bagi mencapai hasrat menjadi Global Technopreneur University (GTU) menjelang 2030, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Kolej Kediaman Dalam Kampus (KKDK) dan Yayasan UTHM telah menganjurkan Program Pembangunan Keusahawanan Hijau pada 7 hingga 9 Julai 2023 lalu bertempat di Mersing dan Pulau Tinggi, Johor.

Program dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Jabatan Perikanan Malaysia, Negeri Johor dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu dikendalikan oleh 20 usahawan muda dari KKDK.

Program tersebut dilaksanakan bertujuan untuk memberi manfaat kepada mahasiswa, peniaga dan komuniti di kawasan pendalaman dengan mencipta peluang baharu dalam perniagaan.

Bagi mencapai hasrat tersebut, UTHM turut terlibat dalam memberi siri latihan kursus pembuatan sos cili secara berkala di Pusat Pertanian Ayer Hitam.

Inisiatif tersebut juga bagi mendorong kerancakan pembangunan komuniti keusahawanan dengan menggabungkan aspek keusahawanan, kelestarian dan kesedaran sosial.

Produk sos cili pelbagai variasi yang dihasilkan dijangka dapat menembusi pasaran di seluruh daerah Mersing berikutan terdapat pihak yang bersedia untuk mengedarkannya.

Menurut pengusaha Zayyad Cafe, Mohd Azhar Habibollah kebanyakan pengusaha keropok lekor di Mersing mengimport sos cili dari negeri lain.

“Mersing merupakan pengeluar utama keropok lekor di Johor jadi sudah tiba masanya negeri ini mempunyai produk sosnya sendiri.

“Pihak kami sangat berbesar hati dengan inisiatif yang diambil oleh UTHM dan bersedia untuk menjadi salah seorang pengedar di kawasan ini,” katanya.

Felo Teknousahawan KKDK, Muhaymin Hakim Abdullah pula berkata cetusan idea itu juga berpotensi membantu pelajar dalam kalangan B40 untuk menjana pendapatan mereka melalui penghasilan produk tersebut.

“Projek ini dapat memberikan impak yang positif kepada sumber pendapatan pelajar dan peluang perniagaan secara berterusan walaupun selepas tamat pengajian.

“Sekiranya berjaya, produk ini dapat diperluaskan pasarannya ke daerah dan negeri masing-masing pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, para peserta turut dijemput oleh Jabatan Perkanan Malaysia Johor untuk menjalankan aktiviti ‘outreach & beach cleanning’ di Pusat Taman Laut, Pulau Tinggi, Johor.

Selaras dengan Program Keusahawanan Hijau, para peserta turut serta membantu agensi kerajaan dan komuniti dalam memelihara kitaran ekosistem.

Sebanyak 150 kilogram bahan buangan berjaya dikumpulkan di sekitar Taman Laut untuk dijual ke pusat kitar semula.

Menurut Ketua Pegawai Perikanan, Nur Afifah A Rahman kawasan persekitaran pantai tersebut tercemar dengan bahan buangan plastik dan kaca yang datang dari pantai Mersing.

“Justeru itu, pihak kami amat mengharapkan kerjasama daripada ramai pihak dalam meningkatkan kesedaran generasi muda dan pengusaha tempatan bagi mewujudkan alam sekitar yang lestari,” katanya.

Usahawan muda KKDK yang terlibat turut mengambil peluang memasarkan produk mereka kepada komuniti pulau selain berkongsi pengalaman niaga, ilmu kemahiran membuat sos cili serta latihan gunting rambut.

Aktiviti seumpama itu dapat memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi penduduk dan berkolaborasi bagi membangun inisiatif keusahawanan yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

 

Proses pembuatan sos cili.

Usahawan muda ketika menjual produk sos cili mereka kepada penduduk setempat.

Ketika menjayakan aktiviti ‘Beach Cleanning’ bersama Jabatan Perikanan.

Categories
Sosial , Kebajikan dan Masyarakat
Subscribe