BATU PAHAT– Selari dengan hasrat menjadikan “Universiti Untuk Masyarakat,” Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) telah melaksanakan program khidmat masyarakat iaitu Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bersama 30 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Perdana, Parit Raja.

Seramai 14 pelajar subjek Topik Topik Khas di bawah Jabatan Kejuruteraan Perisian telah terlibat dalam menjayakan program tersebut.

Mereka yang diselia oleh Dr. Mohd Zanes Shahid dan Dr. Mazidah Mat Rejab melaksanakan program SULAM tersebut pada 21 May 2023 bertempat di Makmal SMK Suria Perdana.

Bengkel Pengaturan Java adalah satu inisiatif fakulti yang bertujuan untuk memperkenalkan pelajar sekolah menengah kepada dunia pengaturcaraan menggunakan bahasa Java yang popular.

Bengkel yang diadakan dalam suasana kolaboratif itu diisi dengan perkongsian ilmu berkaitan asas pengaturcaraan seperti jenis data, dan struktur kawalan.

Pelajar diberi akses kepada sumber dalam talian, termasuk contoh kod dan tutorial, untuk menyokong pembelajaran mereka.

Menurut Dr. Mazidah, segala aktiviti yang dilakukan dapat meningkatkan keyakinan pelajar selepas mereka mempelajari konsep dan idea tersebut di belakang bahasa pengaturcaraan Java.

“Ini kerana bengkel tersebut telah menyediakan mereka dengan contoh-contoh dan latihan untuk diamalkan.

“Inisiatif ini bagi memberi keyakinan kepada mereka untuk menyelesaikan latihan dan masalah dengan menggunakan bahasa pengaturcaraan Java dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.

Selain itu, penganjuran bengkel seumpama itu juga memberi pengalaman berharga kepada peajar FSKTM kerana mereka dapat meningkatkan kemahiran insaniah dalam diri masing-masing seperti kepimpinan, kerjasama dan kemahiran komunikasi.

“Bengkel ini memainkan peranan penting dalam menyampaikan pengetahuan dan kemahiran pengaturcaraan kepada pelajar yang berminat atau sedang menerokai bidang sains komputer, di samping memberikan mereka asas yang kukuh untuk menyumbang kepada industri teknologi maklumat negara pada masa hadapan,” tambah Dr. Mazidah.