MUAR, 22 Jun 2023 – Bagi menyebar luas ilmu dan kemahiran yang dimiliki warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) telah menganjurkan Program Latihan Penternakan Lobster Air Tawar pada 22 Jun 2023 lalu bertempat di Kampung Jawa, Panchor, Muar, Johor.

Program dengan kerjasama Pejabat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC) serta alumni UTHM itu diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Fadzelly Abu Bakar dan dibantu oleh Dr. Fazleen Izzany Abu Bakar serta Dr. Munira Zainal Abidin yang merupakan pensyarah kanan FAST.

Untuk rekod, berbekalkan slogan “Sustainable Future Food” beberapa siri program komuniti diadakan sebagai salah satu inisiatif UTHM berbakti dan berkolaborasi bersama komuniti setempat dalam memastikan kelestarian dan keterjaminan sumber makanan.

Menurut Dr. Mohd Fadzelly, pihaknya memberi ilmu teori dan praktikal kepada penduduk setempat berkaitan cara pengurusan dan penternakan lobster air tawar dengan betul.

“Kami berkongsi ilmu pengetahuan serta kepakaran bersama penduduk kampung dengan menjemput dua penceramah yang merupakan pengusaha penternakan lobster air tawar merangkap alumni UTHM,” katanya.

Bagi mencapai objektif, sebanyak empat modul telah dikongsikan oleh pensyarah dan alumni UTHM iaitu modul pertama melibatkan sesi pengenalan tentang lobster air tawar, modul kedua pula penerangan berkaitan khasiat dan kebaikan lobster air tawar, modul ketiga tentang kegunaan bahan buangan dari pemprosesan lobster air tawar dan modul keempat pula menekankan aspek pengurusan dan tumbesaran lobster air tawar secara berterusan.

Ketua Kampung Jawa, Ahmad Arsam turut hadir memberi sokongan kepada penduduk kampung.

Beliau pelaksanaan program seumpama itu dapat merapatkan jurang antara warga kampus dan komuniti, terutama selepas dua tahun universiti melaksanakan pembelajaran secara dalam talian kerana pandemik Covid-19.

“Program ini mampu memupuk sikap saling bekerjasama dan mewujudkan komunikasi yang efektif, serta membina jati diri pelajar agar sentiasa prihatin dengan keperluan komuniti dan masyarakat yang memerlukan.

“Tambahan pula program ini telah berjaya menarik minat anak muda seawal usia 15 tahun untuk turut serta dalam program penternakan lobster air tawar ini,” katanya.

Selain perkongsian ilmu, program ini juga diisi dengan aktiviti memasak lobster air tawar bagi memberi peluang kepada semua peserta merasai sendiri pengalaman memakan lobster air tawar yang enak dan berkhasiat.

Turut serta dalam program tersebut, Timbalan Pengarah ICRC, Prof. Madya Ts. Dr. Faridah Kormin yang juga hadir sebagai perasmi program.

Sijil penyertaan dan penghargaan turut disampaikan kepada semua peserta dan jawatankuasa yang terlibat menjayakan program.