Oleh Zulaihi Zulkufeli, Nur Ain Akasya Morad, Fadillah Ismail

MUAR – Bagi membantu memelihara alam sekitar, 15 ahli RELASIS terdiri daripada pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit RELASIS I, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan program SEP “RELASIS Served The Nature” pada 17 Jun 2023 lalu.

Pengajar merangkap penasihat program, Tuan Zulaihi Zulkufeli berkata program gotong royong membersihkan kawasan yang diadakan di Bukit Mor, Muar itu bertujuan untuk mendidik setiap ahli RELASIS, anggota RELA dan masyarakat untuk menghargai alam sekitar dan membanteras aktiviti pembuangan sampah terutama plastik di kawasan terpelihara.

Program tersebut turut dibantu oleh 10 anggota RELA Mukim Parit Bakar, Muar yang diketuai Ketua Perhubungan RELA, Tuan Sulaiman Rebu.

Selain aktiviti membersihkan Bukit Mor, para peserta turut mengedarkan risalah kepada anggota-anggota RELA dan masyarakat setempat yang berkunjung ke Bukit Mor.

“Pengedaran risalah tersebut bertujuan untuk berkongsi tentang kesan negatif pembuangan sampah plastik kepada alam sekitar, sekali gus menyemai amalan mengutip sampah secara individu dan berkumpulan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, penganjuran program ‘Served The Nature’ itu merupakan sebahagian usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terutamanya golongan belia tentang bagaimana mengurangkan pembuangan plastik sekali guna dalam kehidupan seharian bagi mewujudkan ekosistem persekitaran yang lebih lestari.