Oleh Dr. Noor Zuraidin Mohd Safar

BATU PAHAT – Sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran di dalam kuliah melalui khidmat komuniti, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan sesi perkongsian ilmu bertajuk “Adaptasi Web 2.0 di dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran” pada 13-14 Jun 2023.

Program yang melibatkan penyertaan 120 murid tahap dua Sekolah Kebangsaan Seri Rengit itu bertujuan memberi pendedahan berkaitan satu revolusi penggunaan Internet dan web sebagai platform, iaitu aplikasi web yang dijalankan secara langsung melalui media Internet  tanpa perlu dibatasi oleh sistem operasi tertentu di dalam proses pembelajaran.

Program yang diketuai oleh Dr. Noor Zuraidin Mohd Safar itu dilaksanakan oleh beberapa pensyarah dan 20 pelajar tahun akhir kursus Topik-topik Khas Teknologi Web (BIW33503).

Program di bawah Service-Learning Malaysia-University for Society (SULAM) itu merupakan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menggabungkan objektif pembelajaran kursus dengan khidmat komuniti, yang menuntut pelajar berinteraksi dengan komuniti bagi menyelesaikan permasalahan setempat dengan menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang mereka pelajari di bilik kuliah.

Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah berkaitan penyediaan poster dan buku skrap digital menggunakan aplikasi dalam talian.

Murid-murid yang terlibat akan memuat naik hasil kerja mereka di dalam storan awan.

Menurut Guru Besar SK Sri Rengit, Le Romzee Ab Samad, penggunaan teknologi web yang diaplikasikan dalam pendidikan mempunyai potensi yang besar untuk menyokong dan meningkatkan mutu PdP di dalam kelas.

“Melalui penggunaan aplikasi tersebut, murid-murid tidak sekadar mengakses Internet untuk mendapatkan maklumat bahkan mereka juga dapat membina pengetahuan melalui interaksi sosial.

“Menariknya, program ini juga turut memberi peluang kepada guru-guru untuk melibatkan diri bersama para pelajar UTHM dalam melaksanakan aktiviti yang dirancang.

“Pihak kami berharapkan program SULAM ini dapat meningkatkan proses Pembelajaran dan Pengajaran Berbantukan Komputer (PPBK) di sekolah,” katanya. 

Sementara itu, Dr. Noor Zuraidin pula berharap program komuniti sebegitu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkasakan lagi peranan mahasiswa dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang membawa manfaat kepada masyarakat setempat.