GERSIK, 25 Jun 2023 – Fakulti Teknologi dan Sains Gunaan (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi (JTS) telah menganjurkan Program “University for Society” (SULAM) di Kampung Hujung Tambak Girsek bagi menggalakkan penduduknya menjana pendapatan dengan menghasilkan produk melalui bahan sisa makanan dan bahan kitar semula.

Program SULAM yang bertemakan “Shaping the Livable Nature” melibatkan penyertaan 50 pelajar tahun dua Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi bagi Kursus Keusahawanan (BWU10102) dan Kursus Kreatif dan Inovasi (BWU10202) bersama 42 penduduk Kampung Hujung Tambak.

Menurut Penyelaras Program, Sr Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah, program itu hasil kerjasama pelajar FAST, Pejabat Kampus Lestari (SCO) melalui Kelab Planeteers UTHM, Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Hujung Tambak dan Helwa Wanita Hujung Tambak.

Jelasnya lagi program itu diadakan bertujuan untuk memupuk kesedaran masyarakat setempat tentang kepentingan memelihara kelestarian alam melalui pelaksanaan aktiviti seperti menggunakan bahan terpakai untuk dijadikan bekas kedap bau baja kompos melalui sisa makanan dan menghasilkan sabun basuh pinggan melalui minyak terpakai.

“Penganjuran program ini juga bertujuan untuk memupuk minat pelajar berkongsi hasil pembelajaran mereka kepada komuniti di samping membantu komuniti meningkatkan pendapatan dengan memanfaatkan sisa makanan untuk dijadikan baja kompos serta sabun basuh pinggan,” tambahnya.

Tambahnya lagi program itu akan disusuli dengan projek penjanaan pendapatan dengan lebih terfokus.

Melalui bantuan Ketua kampung, Haji Ajman Rakiman, sekumpulan penduduk kampung akan dilatih dengan modul-modul tertentu sehingga Kampung Hujung Tambak mempunyai satu produk dari bahan sisa makanan sendiri untuk dipasarkan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Pagoh Perdana, Tuan Haji Ismail Mohamad.

Beliau dalam ucapannya berkata program sebegitu perlu dilaksanakan secara berterusan kerana mampu mengetengahkan peranan UTHM dalam menyumbangkan ilmu dan pengetahuan kepada masyarakat selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia yang ingin jadikan universiti sebagai “University for Society.”

Beliau turut berharap Kampung Hujung Tambak akan mempunyai produk sendiri melalui kerjasam UTHM.

Untuk rekod, program “Shaping the Livable Nature” ini adalah kesinambungan daripada program yang telah dijalankan pada 29 Disember 2022 di Kampung Semandar dan Kampung Parit Bugis pada 18 Januari 2023.

Ketiga-tiga program tersebut bertujuan memupuk kesedaran masyarakat setempat tentang kepentingan memelihara kelestarian alam.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my), 29 Jun 2023: UTHM terus pupuk kesedaran kelestarian alam

UTHM TERUS PUPUK KESEDARAN KELESTARIAN ALAM