Oleh Dr. Nur Ziadah Harun, Prof. Madya Ts. Dr. Isredza Rahmi A Hamid

Selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mengoptimumkan pengalaman pembelajaran di dalam kuliah melalui khidmat kepada komuniti, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjalankan sesi perkongsian ilmu yang bertajuk “Skim Pancingan Data: Adakah Kita Mangsa Pancingan Data?” pada 14 Mei 2023 lalu.

Sesi perkongsian ilmu itu merupakan program Service-Learning Malaysia-University for Society (SULAM) yang memfokuskan pendedahan kepada 11 guru di Sekolah Kebangsaan Jelutong, Parit Raja tentang skim pancingan data yang kerap berlaku dalam kalangan masyarakat.

Seramai lima pelajar tahun akhir dari kursus Topik-topik Khas Keselamatan Maklumat (BIS30403) telah terlibat dalam pelaksanaan program tersebut.

Antara aktiviti yang telah dijalankan, pemaparan tentang jenis-jenis penipuan yang biasa dilakukan, kaedah mengenal pasti dan mengelak daripada menjadi mangsa penipuan dan tindakan yang perlu diambil jika terlibat dalam situasi penipuan.

Selain itu, guru-guru juga turut melibatkan diri dalam permainan interaktif yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan tentang pancingan data.

Menurut Guru Besar SK Jelotong, Md Yazid Kamri program seumpama itu sangat penting untuk memberi kesedaran kepada guru-guru mengenai ancaman pancingan data yang sering terjadi dalam kalangan guru dan pesara guru.

“Pada ketika ini, sering kali terjadi kes-kes yang melibatkan kecurian data dan scammer dalam kalangan warga pendidik yang menuntut kita untuk memberi perhatian lebih serius,” katanya.

Sementara itu pensyarah pengiring, Profesor Madya Ts. Dr. Isredza Rahmi A Hamid dan Dr. Nur Ziadah Harun pula berharap program SULAM seumpama itu dapat membantu pelajar untuk memperluaskan pengetahuan mereka dan meningkatkan kepekaan terhadap isu-isu sosial dan keselamatan siber.

Selain itu, program itu juga diharapkan dapat memberi manfaat kepada guru-guru sekolah untuk membantu meningkatkan kesedaran tentang bahaya pancingan data dan Tindakan terbaik untuk mengelak daripadanya.