BATU PAHAT – Selari dengan objektif program Service-Learning Malaysia-University for Society (SULAM) yang inginkan pelajar berinteraksi dengan komuniti melalui pengetahuan yang dipelajari di bilik kuliah, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Sri Gading, Johor telah menganjurkan seminar bertemakan keselamatan siber iaitu “Sisi Gelap Internet: Memahami Ancaman Siber dan Cara Menghindarinya.”

Bersesuaian dengan kumpulan sasaran iaitu komuniti golongan muda, seramai 50 peserta  terdiri daripada pelajar-pelajar KKTM Sri Gading telah menyertai seminar itu.

Program yang diadakan pada 13 Mei 2023 lalu dikendalikan oleh lima pelajar tahun akhir dari kursus Topik-topik Khas Keselamatan Maklumat (BIS33403) iaitu Nor Fazilah Ramli, Muhamad Fadil Aiman Mohd Zin, Nur Izzati Asyiqin Abu Bakar, Siti An’nisa Amran dan Ariff Irfan Abdul Rahman.

Kumpulan pelajar tersebut diselia oleh dua pensyarah Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web iaitu Ts. Dr. Nurul Hidayah Ab Rahman dan Dr. Nor Bakiah Abd Warif.

Kandungan seminar adalah berdasarkan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari sepanjang tiga tahun pengajian oleh pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Maklumat).

Antara kandungan seminar adalah mengenali jenis-jenis keselamatan siber, ancaman keselamatan siber dalam kehidupan seharian, langkah-langkah melindungi privasi, tindak balas sekiranya berlaku ancaman dan kesedaran tentang kepentingan ancaman siber.

Ancaman yang menunjukkan peningkatan kes jenayah siber seperti phishing, scammers, penipuan pembelian dalam talian dan perisian hasad juga turut didedahkan kepada peserta.

Menurut Ts Dr. Nurul Hidayah, program SULAM seperti itu sememangya mempunyai impak yang tinggi kepada pelajar untuk berkongsi pengetahuan dan membantu mencadangkan amalan-amalan baik keselamatan siber kepada komuniti setempat.

Bagi menilai keberkesanan program, sesi soal selidik berkaitan pengetahuan dan kemahiran telah dijalankan kepada para peserta pada sesi awal dan akhir seminar.

Hasil dari soal selidik yang dijalankan, terdapat peningkatan kefahaman para peserta terhadap pengetahuan dan kemahiran berkenaan ancaman siber.