Oleh Rozlini Mohamed, Dr. Cik Feresa Mohd Foozy, Dr. Nurul Azma Abdullah

Bagi mengelakkan golongan pelajar menjadi mangsa buli, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjalankan sesi perkongsian ilmu yang bertajuk “Buli Siber dan Kesannya Kepada Kehidupan Pelajar” pada 21 Mei 2023 lalu.

Sesi perkongsian ilmu itu merupakan program khidmat masyarakat dan Service-Learning Malaysia-University for Society (SULAM) yang melibatkan penyertaan 32 pelajar tingkatan tiga dan empat, Sekolah Menengah Islam Hidayah (SMIH), Olak Batu, Parit Raja.

Program tersebut dijayakan oleh lima orang pelajar tahun akhir dari kursus Topik-topik Khas Keselamatan Maklumat (BIS30403) iaitu Ahmed Mohamoud Suleiman, Muhammad Ali Afiq Damat, Nur Farah Zahidah Norazam, Nur Isma Nasuha Jemain, dan Shahirah Azhar.

Mereka dibimbing oleh tiga pensyarah FSKTM iaitu Dr. Cik Feresa Mohd Foozy, Dr. Nurul Azma Abdullah dan Hajah Rozlini Mohamed.

Menurut Dr. Feresa, penganjuran program SULAM seumpama itu diharapkan dapat membantu meningkatkan kepekaan pelajar sekolah terhadap isu-isu sosial dan keselamatan siber.

“Antara aktiviti yang dijalankan dalam program tersebut, perkongsian ilmu tentang jenis-jenis buli yang biasa berlaku dalam masyarakat, cara-cara untuk menangani dan mengelak daripada menjadi mangsa buli, tindakan yang perlu diambil jika terlibat dalam situasi buli dan kesan buli ke atas kehidupan pelajar,” jelas beliau.

Selain itu, para peserta berpeluang melibatkan diri dalam permainan interaktif yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan tentang buli siber.

Sementara itu, Ustazah Muhaini Mahusin yang merupakan Penyelaras Akademik dan HEM SMIH berterima kasih kepada FSKTM kerana menganjurkan program sebegitu.

“Program ini sangat bermanfaat kepada pelajar sekolah bagi meningkatkan pengetahuan mereka terhadap kes buli siber.

“Pendedahan sebegini bukan sahaja meningkatkan kesedaran pelajar malah dapat mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa seterusnya,” katanya.