Oleh Prof. Madya Ts. Dr. Rafidah Hamdan, Prof. Madya Dr. Nur Shaylinda Mohd Zin

JAWA BARAT – Bagi merapatkan hubungan universiti-komuniti antara dua negara, dua pensyarah dan 10 pelajar sarjana muda Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan program mobiliti antarabangsa melibatkan kerjasama Universitas Mercu Buana (UMB), Jakarta.

Program berbentuk pemindahan ilmu yang bertajuk ‘4R@Community’ itu diadakan di Sekolah Madrasah Ibtidaiyah (MI) Alam Robbani yang terletak di Jatisampurna, Bekasi, Jawa Barat, Indonesia pada 12 Mei 2023 lalu.

Menurut penyelaras program, Prof. Madya Ts. Dr. Rafidah Hamdan pelaksanaan program anjuran bersama Pejabat Kampus Lestari (SCO) dan Pusat Kecemerlangan Pencemar Mikro (MPRC) itu ditaja oleh Pejabat Antarabangsa UTHM, UMB serta pihak MI.

Tambah beliau, program 4R@Community itu juga diadakan bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai murni kepada generasi muda iaitu reduce, reuse, recyle dan recovery dalam menguruskan sisa harian.

“Dengan berkonsepkan Waste to Wealth, pihak kami mengitar semula sisa makanan menjadi sesuatu yang lebih berharga iaitu kompos,” katanya.

Sementara itu, Profesor Madya Dr. Nur Shaylinda Mohd Zin yang mengetuai sesi demo penyediaan baja kompos pula berkata melalui program itu, transformasi sisa makanan kepada produk lain dapat dilakukan secara hands-on, di samping dapat mengalakkan lagi budaya kitar semula sisa dalam kalangan masyarakat dan melupuskannya di tempat pelupusan sampah.

“Penganjuran program mobiliti antarabangsa itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pihak sekolah, namun turut memberi pengalaman baharu kepada para pelajar untuk berinteraksi dengan komuniti setempat,” katanya.

Selain itu, program itu juga memberi peluang kepada pelajar untuk menjadi duta kecil bagi mempromosikan UTHM serta meningkatkan kemahiran generik yang hanya boleh didapati di luar waktu kuliah.

Manakala para pensyarah pula berpeluang meningkatkan jaringan antarabangsa serta meningkatkan hubungan dua hala yang lebih baik antara dua universiti.

Penyelaras Program Pengabdian Kepada Masyarakat UMB, Dr. Isradi Muhammad berharap program seperti itu dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.

Pihaknya juga berhasrat untuk menjadikan Sekolah Alam Robbani sebagai sekolah binaan atau sekolah angkat UTHM.

 

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my), 21 Mei 2023: Prorgam ‘4R@ Community’ FKAAB rapatkan hubungan dua negara

PROGRAM ‘4R@COMMUNITY’ FKAAB RAPATKAN HUBUNGAN DUA NEGARA