Oleh Norsyahmirul Amin Ruzlan, Furzani Pa’ee
PAGOH – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program Life After School: STEM Career Path pada 18 Januari lalu bagi mempromosi program-program ijazah sarjana muda yang berkaitan dengan pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) kepada para pelajar daripada Sekolah Kluster Kecemerlangan daerah Muar.
Program tersebut melibatkan 37 pelajar Sekolah Tinggi Muar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada tahun ini bersama sembilan guru pengiring.
Program itu bertujuan memberi maklumat terkini berkaitan program pengajian di bawah FAST memandangkan para pelajar sering menghadapi dilema dalam memilih bidang STEM selepas tamat pengajian peringkat sekolah menengah.
Penganjuran program itu juga sebagai usaha meningkatkan jumlah graduan dalam bidang STEM yang semakin mendapat tempat di pasaran kerja seiring dengan perkembangan sains dan teknologi.
Program STEM Career Path seumpama itu juga menjadi platform yang baik bagi memperkenalkan STEM kepada komuniti setempat sekali gus memberi inspirasi kepada mereka untuk meneruskan pengajian dalam bidang STEM di UTHM.
Program tersebut diisi dengan sesi perkongsian tujuh program yang ditawarkan selain pelaksanaan aktiviti-aktiviti menarik seperti lawatan ke Makmal Fizik Teknologi Nano dan Makmal Instrumentasi Makanan, serta permainan Bouncing Ball, Twenty-One dan Tallest Tower Building.
Kesemua aktiviti itu dijalankan bagi memberi pendedahan kepada pelajar sekolah berkaitan suasana dan kehidupan di kampus.
Program yang diketuai oleh Pengarah Program, Dr. Furzani Pa’ee itu telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa), FAST, Prof. Madya Dr. Hamizah Mohd Safuan selaku wakil rasmi Dekan.
Kelancaran program itu turut dibantu oleh Jawatankuasa Promosi FAST, Jawatankuasa STEM FAST, Pejabat Pengurusan Makmal Kampus Cawangan Pagoh, Kelab Sains dan Teknologi (STC) dan UTHM MySTEM Ambassador.