BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melancarkan Tabung Mangsa Banjir bagi memberi peluang kepada warga kampus dan masyarakat menderma untuk turut sama membantu meringankan beban mangsa banjir di seluruh negeri Johor.

Situasi semasa banjir menunjukkan jumlah keseluruhan mangsa banjir di Johor meningkat tinggi sekali gus menjadikan jumlah penduduk yang dipindahkan di 219 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut meningkat.

Misi bantuan bencana banjir UTHM Prihatin menerusi Yayasan UTHM yang diketuai Pengurusnya, Mohd Razif M. Ismail bermula di daerah Kluang pada 3 Mac lalu dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarat Negeri Johor dan Pejabat Daerah Kluang.

Misi bantuan banjir di daerah tersebut melibatkan empat PPS terpilih iaitu PPS Kampung Bentong Dalam, PPS SJKT Ladang Lambak, PPS SK Kampung Tengah Kluang dan PPS Dewan Kampung Melayu Kluang.

UTHM mengagihkan bantuan berbentuk barang keperluan diri dan makanan seperti bantal, tuala, tikar, tilam, lampin pakai buang dan makanan kering dengan nilai keseluruhan sumbangan berjumlah RM6 ribu.

Manakala pada 5 Mac lalu, misi bantuan bencana banjir UTHM Prihatin menerusi Yayasan UTHM diteruskan ke daerah Muar pula dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarat Negeri Johor dan Pejabat Daerah Muar.

Misi bantuan di daerah itu melibatkan tiga lokasi terpilih iaitu Dewan Jubli Intan Muar (Pejabat Daerah Muar), PPS Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam Bt. 18 dan PPS SMK Sultan Alaudin Riayat Shah, Pagoh.

Bantuan yang disampaikan berbentuk barangan keperluan diri dan makanan seperti bantal, tuala, tikar, tilam, lampin pakai buang dan makanan kering dengan nilai keseluruhan sumbangan berjumlah RM5 ribu.

Selepas ini, bantuan dan sumbangan turut akan disalurkan lagi ke beberapa PPS yang terpilih.

Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim sebagai tanda keprihatinan universiti kepada komuniti, pihak universiti komited dalam membantu mangsa banjir semasa dan selepas musibah itu berlalu.

“UTHM sehingga hari ini turut giat mengesan pelajar dan staf yang terlibat dengan banjir untuk diberikan bantuan dan sumbangan pada kadar segera.

“Selain membuat kutipan dana dan mengagihkan bantuan, pihak universiti juga akan menyediakan seberapa ramai sukarelawan bagi membantu kerja-kerja pembersihan kawasan kediaman mahupun kawasan awam.

“Pihak universiti juga bersedia membantu kerajaan negeri Johor dengan menyumbang tenaga dan kepakaran yang ada untuk turut sama membantu masyarakat yang terkesan,” katanya.

Kepada mereka yang ingin membantu, derma anda boleh disalurkan ke akaun Yayasan UTHM 1101-6862-87 (Bank Rakyat). Sebarang pertanyaan, sila hubungi 012-7399496 atau emel ke yayasan@uthm.edu.my.

 

 

Berita ini juga diterbtikan di;

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 7 Mac 2023 : UTHM lancar tabung bantu mangsa banjir Johor

https://malaysiagazette.com/2023/03/07/uthm-lancar-tabung-bantu-mangsa-banjir-johor/

 

2. Utusan (utusan.com.my), 12 Mac 2023 : UTHM agih sumbangan bantu mangsa banjir

UTHM agih sumbangan bantu mangsa banjir

 

3. Melaysiakini (melaysiakini.com), 12 Mac 2023 : UTHM agih sumbangan bantu mangsa banjir

https://www.melaysiakini.com/uthm-agih-sumbangan-bantu-mangsa-banjir-81382.html