MUAR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dengan kerjasama Pejabat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), Yayasan UTHM dan Koperasi Homestay Kampung Parit Bugis Muar Berhad telah menganjurkan Program Inap Desa Herba pada 18 dan 19 Januari 2023.

Program perkongsian ilmu yang dilaksanakan di Homestay Kampung Parit Bugis itu bertujuan memberi pendedahan kepada komuniti luar bandar khususnya para pengusaha inap desa di sekitar daerah Muar mengenai produk hiliran bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan pada era pasca Covid-19.

Pelaksanaannya juga bagi memberi ruang dan peluang kepada pelajar UTHM untuk meningkatkan kemahiran komunikasi serta dapat berkongsi pengetahuan teori dan aplikasi bersama komuniti di luar kampus.

Program kendalian 12 pelajar program Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) itu mendapat sokongan yang amat baik daripada komuniti setempat. Mereka juga merupakan ahli persatuan Planeteers UTHM yang dinaungi oleh Sr. Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah.

Bagi mencapai objektif, sebanyak empat modul telah dikongsikan oleh para pensyarah FAST selaku jawatankuasa tertinggi program.

Pengisiannya melibatkan slot pembuatan ais krim nanas yang disampaikan oleh Dr. Nurhafizah Malik, pembangunan produk sabun nanas daripada minyak masak terpakai dan sisa kulit nanas oleh Ts. Dr. Siti Fatimah Sabran serta pembuatan cenderahati resin menggunakan tumbuhan herba oleh Dr. Salasiah Mohamad.

Turut diadakan, satu sesi ceramah mengenai program ‘Pengalaman Homestay Malaysia’ yang disampaikan oleh Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Johor, Magdlane Tuborg Melai.

Menurut penyelaras Homestay Kampung Parit Bugis, Haji Saifudin Haji Mohd Kodak merangkap penyelaras Homestay Negeri Johor, program seumpama itu dapat meningkatkan daya saing dan mencambah idea kreatif komuniti dalam mempelbagaikan produk dan aktiviti pelancongan sedia ada yang mempunyai keunikan dan identiti tersendiri.

Beliau dan semua pihak yang terlibat turut berterima kasih dan menyatakan persetujuan untuk terus bekerjasama erat dalam menjayakan program pemindahan ilmu sebegitu pada masa akan datang.

Sijil penyertaan dan penghargaan turut disampaikan kepada semua peserta dan jawatankuasa yang terlibat menjayakan program.

Berbekalkan slogan “Shaping the Livable Nature,” beberapa siri program komuniti telah pun dan akan diadakan pada masa akan datang sebagai salah satu inisiatif UTHM berbakti kepada komuniti setempat dalam memastikan kelestarian alam sejagat terjamin.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my), 26 Februari 2023: FAST, UTHM bantu komuniti pelbagaikan produk, rancakkan sektor perlancongan

FAST-UTHM BANTU KOMUNITI PELBAGAIKAN PRODUK, RANCAKKAN SEKTOR PELANCONGAN

2. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com), 27 Februari 2023: Inap Desa Herba inisiatif FAST-UTHM rancakkan kembali sektor pelancongan tempatan

https://sinarbestari.sinarharian.com.my/my-ipt/inap-desa-herba-inisiatif-fast-uthm-rancakkan-kembali-sektor-pelancongan-tempatan/news