Oleh Ts. Dr. Ruzaimah Razman

BATU PAHAT – Bagi memupuk kesedaran berkaitan keselamatan dan kesihatan di persekitaran sekolah, seramai 21 sukarelawan terdiri daripada staf akademik Kluster Kejuruteraan Bangunan dan Pembinaan, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) telah menjayakan program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) dan program Pemindahan Ilmu bersama warga Sekolah Kebangsaan Parit Bingan (SKPB) dan Sekolah Kebangsaan Jelotong (SKJ).

Program yang diberi nama ’OSH to School’ yang dijalankan pada 29 November 2022 di SKPB dan 1 Disember 2022 di SKJ itu disertai oleh 230 pelajar dari kursus Occupational Safety and Health.

Kedua-dua sekolah tersebut dipilih sebagai lokasi program kerana kedudukannya yang hampir dengan kampus induk UTHM.

Selain aktiviti berkumpulan yang dinamakan ”Hazard Hunt”, program pemindahan ilmu juga turut dijalankan dengan mengadakan sesi perkongsian ilmu bersama para pelajar mengenai kepentingan menjaga keselamatan dan kesihatan, yang disampaikan oleh pensyarah dan penyelaras kursus, Ts. Dr. Muhammad Fikri Hasmori.

Menurut Dr. Fikri, program tersebut mendapat sambutan yang sangat baik daripada pelajar UTHM dan pelajar kedua-dua sekolah terbabit.

“Mereka sangat teruja melakukan aktiviti memandangkan sudah hampir dua tahun tiada program secara fizikal dijalankan di sekolah tersebut disebabkan penularan wabak Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SKPG, Tuan Haji Aezil Syuheari Abdul Sukoh dan Guru Besar SKJ, Cikgu Mohd Asri A. Karim berterima kasih kepada UTHM dan turut berharap agar program seumpama itu dapat diteruskan lagi dari semasa ke semasa agar pelajar sekolah dapat manfaatkan ilmu yang diberi.