Berjaya kumpul lebih 1000kg, fabrik terpakai diberi nyawa kedua

PAGOH, 6 Januari 2023 – Sekumpulan pelajar dari Kursus Kokurikulum Berkredit Debat Seksyen 2, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya mengumpul kira-kira 1285.74 kilogram (kg) fabrik terpakai untuk dikitar semula bagi tujuan amal.

Pengumpulan melalui program ‘Sustainable Engagement Project (SEP) Bajurity: Recycle for Charity’ yang hanya mengambil masa empat hari itu melebihi sasaran yang ditetapkan sebelum ini iaitu sebanyak 1000kg.

Program amal itu turut melibatkan kerjasama beberapa pihak seperti Kloth Malaysia Sdn. Bhd., Genesys Eco Resources, Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP), Kelab Teknologi Kejuruteraan (ETeC) dan Sekretariat Rukun Negara (SRN) UTHM.

Pengarah program, Muhammad Nabil Yusjah berkata program Bajurity diadakan bertujuan mendidik warga kampus dan komuniti setempat untuk membudayakan aktiviti mengitar semula barangan fabrik terpakai dengan  menukarkan ia menjadi barang yang bermanfaat untuk masyarakat.

“Setiap tahun kita dapat lihat peningkatan sisa fabrik terpakai di tapak pelupusan sampah termasuk di kolej-kolej kediaman UTHM.

“Sebahagian sisa ini boleh diguna semula dengan menghasilkan barangan seperti selimut dan baju untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan sekali gus menyumbang kepada kelestarian bandar selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan 11 (SDG).

“Bagi memastikan projek ini dapat diteruskan, satu tong kitar semula fabrik turut ditempatkan di kafeteria KKKP UTHM Kampus Cawangan Pagoh,” katanya.

Rentetan itu satu majlis ringkas telah diadakan bertempat di Kafeteria KKKP yang disempurnakan oleh Timbalan Pengetua 1 KKKP, Dr. Mohd Faisal Hushim.

Turut diadakan, perkongsian pandangan berkaitan tema ‘Recycle for Charity’ daripada Eksekutif Pembangunan Produk dan Operasi, Kloth Malaysia Sdn. Bhd., Ummi Maisarah Nasaruddin dan Pengarah Urusan dan Pengasas, Genesys Eco Resources, Wan Muhamad Idham Wan Mahdi.

Sementara itu, pengajar merangkap penasihat program, Mohd Syahir Anwar Hamzah pula berkata program yang kali pertama diadakan selepas pandemik itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada warga kampus dan maklum balas positif daripada rakan-rakan kerjasama.

“Melalui pelaksanaan program ini, pelajar juga berpeluang untuk mendokong aspirasi SDG dengan melakukan usaha kecil yang berimpak tinggi di samping dapat menimba pengalaman menganjurkan program bagi memenuhi keperluan subjek di bawah Pusat Pengajian Umum & Kokurikulum (PPUK),” katanya.

Beliau turut berharap program seumpama itu dapat meningkatkan kesedaran dan keprihatinan warga kampus dan komuniti setempat untuk mengitar semula sisa bagi mewujudkan ekosistem persekitaran yang lebih lestari.

 

Berita ini juga diterbitkan di;

1. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my), 9 Januari 2023: Kumpul 1.2 tan fabrik terpakai

KUMPUL 1.2 TAN FABRIK TERPAKAI

 

2. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com.my), 10 Januari 2023: “Alhamdulillah, jumlah fabrik terpakai melebihi sasaran” – Muhammad Nabil

“Alhamdulillah, jumlah fabrik terpakai melebihi sasaran” – Muhammad Nabil

Categories
Keratan Akhbar 2023Sosial , Kebajikan dan Masyarakat