UTHM dan KMKJ kaji kualiti air sungai di Gunung Pulai

- Bersih daripada pencemaran

Oleh Ts. Dr. Mohd Ariff Ahmad Nazri

GUNUNG PULAI – Bagi menzahirkan kecintaan terhadap sungai dan alam sekitar, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi melaksanakan program kelestarian ‘Penentuan kualiti air sungai di Gunung Pulai’ bersama Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Johor (KMKJ), Pontian pada 26 November 2022 lalu.

Hasilnya, kajian yang menggunakan pendekatan Petunjuk Bio (makroinvertebrata) dan Kimia itu mendapati air sungai di Gunung Pulai bersih daripada pencemaran dan selamat digunakan oleh pengunjung serta penduduk setempat.

Selain itu, para peserta turut menemui beberapa spesies dan keluarga makroinvertebrata di dalam air dan kemudian membuat perbandingan dengan menggunakan kaedah kimia yang mana ia telah dirumuskan melalui pengiraan dan perbandingan bagi menentukan tahap kualiti air di sungai itu.

Program yang turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Kampus Lestari (SCO, UTHM) itu melibatkan penyertaan 10 pensyarah dan 38 pelajar Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Johor (KMKJ), Pontian.

Kolej matrikulasi tersebut merupakan institusi angkat di bawah Program Sekolah Angkat UTHM.

Seramai 10 fasilitator terdiri daripada staf akademik FKAAB dan dibantu oleh 11 pelajar FKAAB selaku pembantu fasilitator serta staf SCO termasuk Pengarahnya, Prof. Ts. Dr. Aeslina Abdul Kadir telah menjayakan program tersebut yang mendapat tajaan daripada Yayasan UTHM.

Menurut pengurus program, Ts. Dr. Mohd Ariff Ahmad Nazri program tersebut diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada peserta berkaitan kaedah Purata Skor Taxon (ASPT) bagi mengetahui sama ada air sungai berada pada tahap bersih atau sebaliknya melalui hidupan makroinvertebrata yang hidup di dalamnya.

Pengenalan kepada Kit Pendidikan Kualiti Air yang dicipta khas oleh Fakulti terbabit juga turut didedahkan kepada peserta dengan memfokuskan kepada kaedah penggunaannya.

Selain itu, program tersebut juga bertujuan memberi peluang dan pengalaman baharu kepada pelajar sekali gus sebagai usaha meningkatkan pengetahuan, kemahiran komunikasi dan kompetensi mereka.

Untuk rekod, program tersebut merupakan siri lanjutan dari program yang pernah dijalankan sebelum ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan sekolah-sekolah sekitar Batu Pahat, Johor Bahru, Pasir Gudang dan Kluang.

“Pelaksanaan aktiviti atau program berkaitan penentuan kualiti air sungai ini diharapkan dapat memupuk minat generasi masa kini untuk mencintai sungai, selain menjadi amalan dan budaya kepada warga universiti dalam mewujudkan sebuah kampus yang lestari,” katanya.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my): UTHM, KMKJ laksana ekspedisi uji kualiti air Gunung Pulai

UTHM, KMKJ LAKSANA EKSPEDISI UJI KUALITI AIR GUNUNG PULAI

Categories
Kejuruteraan Awam dan Alam SekitarKeratan Akhbar 2022Sosial , Kebajikan dan Masyarakat