BATU PAHAT, 4 Dis 2022  –  Bagi membantu meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dan meningkatkan minat pelajar sekolah terhadap Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan Program Pemindahan Ilmu dan Clever STEM UTHM-SEGA bersama warga Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gading (SEGA).

Program kerjasama UTHM-SEGA yang melibatkan penyertaan 121 pelajar tingkatan satu dan dua itu bertujuan membina keyakinan pelajar untuk bertutur dalam bahasa Inggeris dengan berani di samping meningkatkan minat mereka terhadap subjek Sains dan Matematik.

Segala modul dalam program itu dijalankan secara interaktif dengan menggunakan bahasa mudah dan ditambah dengan pelaksanaan aktiviti yang menyeronokkan.

Sementara itu, aktiviti pemindahan teknologi juga diadakan antaranya ‘Flight Simulator,’ ‘Water Rocket’ dan ‘3D Printer.’

Turut berlangsung, program ‘Science & Math Explorerace’ dan ‘Tower Building’ bagi memupuk minat pelajar terhadap Sains dan Matematik.

Program tersebut dilaksanakan oleh beberapa staf iaitu Ts. Dr. Nur Kamilah Yusuf  sebagai pengarah program, dibantu oleh tujuh penyelaras aktiviti iaitu Kapten Zulkhairi Subari, Dr. Sushilawati Ismail, Ts. Dr. Siti Nur Mariani Mohd Yunos, Ts. Dr. Latifah Md Ariffin, Prof. Madya Ts. Dr. Nurhayati Rosly, Prof. Madya Ts. Dr. Norasikin Mat Isa dan Ts. Dr. Wan Nur Azrina Wan Muhammad.

Mereka turut dibantu oleh 40 pelajar UTHM terdiri daripada pelajar pasca siswazah dan pelajar siswazah sebagai fasilitator.

Manakala SMK Seri Gading pula diwakili Hajah Zalinah Isa sebagai penyelaras program, dibantu oleh guru STEM, Abdul Razak Abdul Wahab dan Haslina Elon.