Oleh Norhaslini Abd Alim

BATU PAHAT – Berlandaskan kepada salah satu daripada struktur fungsi yang telah dirangka dalam Pelan Strategik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) 2021 hingga 2025, iaitu UTHM Prihatin yang memfokuskan tanggungjawab sosial kepada komuniti dan alam sekitar, Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA) telah mengorak langkah proaktif dengan membangunkan modul program Pemimpin Perintis Kejayaan (PETIK).

Program PETIK merupakan salah satu daripada program khidmat sosial korporat PTTA bersama masyarakat setempat khususnya pelajar sekolah.

Program berteraskan model kemahiran insaniah itu bertujuan untuk memupuk ciri-ciri seorang pemimpin dalam kalangan peserta termasuk kemahiran interpersonal yang berkeupayaan untuk bersosial, berkomunikasi dan bekerja secara berpasukan.

Selain mempunyai nilai kepimpinan, bertanggungjawab dan beretika, kemahiran kognitif untuk berfikir dengan lebih kritis dan boleh menyelesaikan masalah juga turut diterapkan dalam modul itu.

Menurut Ketua Fokus UTHM Prihatin, Zaharah Abd Samad yang juga Ketua Pustakawan, kini PTTA mempunyai kumpulan fasilitator dan sukarelawan dalam kalangan staf.

“Bengkel Training of the Trainers (TOT) akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi tujuan penambahbaikan modul dan memastikan kumpulan fasilitator bersedia sepenuhnya untuk menerajui program ini,” katanya.

Untuk rekod, program PETIK telah diadakan buat pertama kali pada 16 Jun 2022 lalu bertempat di Sekolah Kebangsaan Kg. Dato’ Ibrahim Majid, Simpang Renggam.

Ia dilaksanakan sempena Kursus Kepimpinan Student Leader Board (SLB) di sekolah berkenaan yang melibatkan penyertaan 177 murid.

Mereka terdiri daripada pemimpin kecil sekolah iaitu Pengawas, Pengawas Pusat Sumber, Pembimbing Rakan Sebaya, Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas.

Sejak penganjuran sulungnya, program PETIK mendapat perhatian dan sambutan yang amat memberangsangkan oleh pihak sekolah sekitar Batu Pahat.

Manakala pada 28 September 2022 lalu, program PETIK siri kedua telah dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Parit Bingan, Batu Pahat dengan kerjasama Yayasan UTHM, melibatkan penyertaan 66 murid tahap dua.

Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Suhaimi Mohd Sukor menyampaikan hadiah kepada peserta dan kumpulan terbaik ketika berlangsungnya majlis penutup program.

Majlis tersebut turut menyaksikan enam murid asnaf menerima bantuan wang tunai sumbangan Yayasan UTHM.

“Melihat keseronokan dan wajah ceria para peserta sepanjang program berlangsung, ia membuatkan Kumpulan PETIK@PTTA nekad untuk mengembangkan lagi program ini ke sekolah-sekolah lain pada masa akan datang.

“Semoga ia menjadi salah satu daripada wadah PTTA dalam menyokong aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi melalui pendekatan University for Society@Keluarga Malaysia (UniTY) dan University for Society (U4S),” kata Suhaimi.

 

Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Suhaimi Mohd Sukor ketika berucap dan menyampaikan hadiah kepada peserta semasa berlangsungnya majlis penutup program.
Pengurus Yayasan UTHM, Razif M. Ismail menyampaikan sumbangan kepada pelajar asnaf.

Berita ini juga diterbitkan di :

Program PETIK terap kemahiran insaniah murid sekolah

1. mediadigitaljohor.gov.my, 26 Oktober 2022 : https://mediadigitaljohor.gov.my/program-petik-terap-kemahiran-insaniah-murid-sekolah/