Utusan Malaysia, 26 Oktober 2022 :

SAUDARA PENGARANG,

DASAR pecah dan perintah yang diamalkan penjajah telah memberi kesan kepada kehidupan masyarakat. Hal ini dapat dilihat dalam konteks amalan pembudayaan berasaskan kaum yang masih diaplikasikan sehingga hari ini.

Sungguhpun begitu, Malaysia telah melalui pelbagai drama dan air mata bagi memastikan kesepaduan dalam perbezaan tersebut dapat dicapai. Peristiwa 13 Mei 1969 masih kekal sebagai sejarah hitam dan menjadi peringatan akan buruknya kesan perpecahan.

Justeru, pelbagai usaha dilaksanakan termasuk pengisytiharan Rukun Negara sebagai pegangan buat seluruh warganegara.

Usaha lain telah diterjemahkan melalui sistem pendidikan. Sistem pendidikan adalah platform terbaik dalam usaha menerapkan semangat perpaduan terhadap seluruh rakyat. Tidak hairanlah usaha penyepaduan telah dilakukan sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi.

Beberapa laporan pendidikan seperti Laporan Barnes (1951), Laporan Fenn-Wu (1951), Penyata Razak (1956), dan Penyata Rahman Talib (i960) telah mengangkat matlamat perpaduan sebagai agenda utama pendidikan.

Setelah melangkah ke arah negara industri, agenda perpaduan masih dikekalkan dengan mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Di samping itu, beberapa silibus pendidikan dirombak seperti Pendidikan Sivik yang digantikan dengan Pendidikan Moral. Pemerkasaan mata pelajaran “Pendidikan Islam turut dilaksanakan. Usaha ini bagi memastikan sistem pendidikan dapat menyediakan sumber tenaga yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih.

Bagi memastikan matlamat tersebut kekal di landasannya, Falsafah Pendidikan Negara (FPN) diisytiharkan pada 1988 sebelum disemak semula menjadi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) pada 1996.

Secara umumnya, kerangka FPK mengandungi inti pati tersusun dan menyeluruh dalam menterjemahkan aspirasi pendidikan yang ingin dicapai oleh negara.

Berdasarkan kerangka tersebut, pen definisian perpaduan adalah lebih holistik. Hal ini kerana perpaduan dilihat melalui kesepaduan elemen-elemen kecil iaitu seseorang individu yang dapat dilahirkan dengan kemampuan berfikiran rasional, bertanggungjawab dan dapat bersemangat patriotik serta memiliki jati diri kukuh sebagai rakyat Malaysia.

Sesungguhnya, kemajuan sesebuah negara terletak kepada keseimbangan pembangunan yang dapat memberikan manfaat kepada semua pihak. Jika tidak, kemodenan yang dikecapi hanya ibarat tin kosong yang kuat bunyinya, namun kosong di dalamnya. Takut nanti luntur identiti, hilang nilai murni, musnah generasi.

Artikel ini juga diterbitkan di :

1. utusan.com, 26 Oktober 2022 : https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2022/10/pertahan-ideologi-pendidikan-demi-perpaduan-bangsa/

2. melaysiakini.com,  26 Oktober 2022 : https://www.melaysiakini.com/pertahan-ideologi-pendidikan-demi-perpaduan-bangsa-61871.html

 

Oleh:

Mohd Nur Syufaat Jamiran & Dr. Nur Sofurah Mohd Faiz

Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)