Kisah kejayaan staf akademik Majlis Profesor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Ts. Dr. Zaidi Embong telah dipaparkan dalam buku berjudul “Tiada Yang Mustahil Kisah Kejayaan OKU (Edisi Kedua).”

Buku terbitan Institut Sosial Malaysia (ISM) itu telah dilancarkan bersama dua lagi buku lain berjudul “Isu Polisi dan Perundangan Sosial di Malaysia” dan “Refleksi Pekerja Sosial: Sebuah Praktis di Kota Metropolitan” ketika berlangsungnya Majlis Citra Tiga Warta pada 11 Oktober 2022 lalu bertempat di Dewan Perdana Nur, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Pelancaran ketiga-tiga buku ini telah disempurnakan oleh Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Haron. Hadir sama ke majlis tersebut, Pengarah ISM, Dr. Faridah Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, KPWKM, Nordina Haron yang juga merupakan alumni UTHM.

Kisah kejayaan Prof. Zaidi yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) telah tersenarai dalam buku tersebut melalui slot OKU bagi bidang akademik bersama 29 lagi tokoh mengikut bidang masing-masing iaitu kemasyarakatan, kesenian, keusahawanan dan sukan.

Antaranya penyanyi kumpulan Caliph Buskers, Khairul Azmi Mohd Saat; atlet emas sukan angkat berat Paralimpik Malaysia, Bonnie Bunyau Anak Gustin dan jaguh emas badminton Paralimpik, Tokyo 2020, Cheah Like Hou.

Untuk rekod, Prof. Zaidi berkemahiran luas dalam bidang fizik dan banyak memberi sumbangan dalam kajiannya yang multi disiplin.

Mengimbau kembali perjalanan hidupnya, Prof. Zaidi dahulunya seorang yang aktif dalam badan beruniform dan sukan.

Namun pada tahun akhir pengajian PhD di Bristol, England, beliau disahkan menghidapi penyakit “Miyoshi Dystropy” iaitu kerosakan otot disebabkan faktor genetik yang memaksa dirinya bertongkat dan akhirnya berkerusi roda.

“Namun begitu, saya tidak menjadikan kekurangan ini sebagai penghalang untuk terus bergerak ke hadapan sebagai seorang pendidik dan penyelidik yang berjaya,” katanya.

Selain aktif dalam bidang pengajaran dan penyelidikan, beliau kini giat berkongsi ilmu kepakarannya bersama masyarakat dengan memenuhi setiap jemputan seminar dan bengkel anjuran pelbagai pihak.

Prof. Zaidi berharap penerbitan buku-buku seumpama ini dapat memberikan inspirasi dan rujukan kepada golongan sasaran seperti OKU, pekerja dan pengamal kerja sosial.

 

 

Prof. Zaidi bersama Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Haron (kanan).

Artikel ini juga telah diterbitkan di :

1. sinarbestari.sinarharian.com, 21 Oktober 2022 : https://sinarbestari.sinarharian.com.my/buletin/tahniah-profesor-ts-dr-zaidi-tersenarai-antara-30-oku-berjaya-terbitan-ism/

2. msn.com, 21 Oktober 2022 : https://www.msn.com/en-my/news/berita/tahniah-profesor-ts-dr-zaidi-tersenarai-antara-30-oku-berjaya-terbitan-ism/ar-AA13diPA

Tiada yang mustahil jika ingin berjaya

3. mediadigitaljohor.gov.my, 22 Oktober 2022 : https://mediadigitaljohor.gov.my/tiada-yang-mustahil-jika-ingin-berjaya/