Kaneko Mitsuharu merupakan seorang penyair Jepun yang dilahirkan pada tahun 1895. Hasil penulisan beliau banyak dipengaruhi dengan kesusasteraan Perancis, Kaneko pernah menetap di Eropah seperti England, Perancis, Belgium dan lain-lain tempat selama lebih kurang empat tahun.

Dalam perjalanan ke Perancis dan pulang ke Jepun, Kaneko pernah tinggal di Batu Pahat selama tiga bulan pada tahun 1929 dan 1932. Beliau tinggal di aras dua dalam bangunan yang berhadapan jeti ke Muar (sekarang telah dijadikan Jabatan Kastam, Batu Pahat). Sudut bangunan tersebut telah dibina pada tahun 1925. Di bangunan itu juga pernah tertubuhnya Japan Club Batu Pahat. Pada ketika itu, orang Jepun yang datang ke Batu Pahat dibolehkan tinggal di bangunan itu tanpa sebarang bayaran.

Kaneko juga mempunyai bakat dalam melukis. Oleh yang demikian, beliau telah menjual hasil lukisannya kepada orang Jepun dan menggunakan hasil jualannya sebagai perbelanjaan perjalanan ke Perancis. Ketika itu, ramai orang Jepun yang bekerja di lombong dan ladang getah di Batu Pahat.

Pernah suatu ketika, Kaneko berhenti melakukan aktiviti menulis disebabkan kesempitan hidup yang dilaluinya di Eropah. Namun, setelah beliau berada di Batu Pahat, beliau telah memulakan semula minatnya dalam penulisan.

Kaneko menggunakan kelebihan beliau sebagai seorang penyair untuk menggambarkan dengan jelas alam semula jadi dan kehidupan masyarakat yang terdapat di Batu Pahat. Melalui pemerhatiannya, beliau telah menggambarkan suasana ketika itu dalam sebuah buku yang ditulisnya dan diterbitkan pada tahun 1940. Buku tersebut bertajuk “Maree Ran-in Kiko” (Travelog Perjalanan di Tanah Malayu dan Jawa). Buku beliau ini mengandungi 93 halaman muka surat (60% dalam buku).

Buku yang beliau hasilkan masih lagi dapat menarik minat orang ramai untuk membacanya. Malahan, ia masih dijadikan rujukan sehingga hari ini, terutamanya bagi orang Jepun yang melancong ke Asia. Ramai pelancong Jepun yang melancong ke Asia, turut mengembara ke tempat-tempat yang digambarkan oleh Kaneko serta merasai sendiri suasana persekitaran seperti yang tergambar dalam buku tersebut, termasuklah di Batu Pahat. Malahan, ada antara mereka yang menulis dan menggambarkan suasana yang mereka alami dalam social networking service (SNS), (blog, Instagram) peribadi mereka.

Di dalam buku Mitsuharu Kaneko turut menyatakan mengenai orang Jepun yang suatu ketika, pernah sangat mengagumi Barat telah mula kecewa dengan Barat. Mereka mula menyaksikan kehebatan Asia Tenggara, keceriaan dan layanan baik orang di Asia Tenggara. Orang Jepun mula merasakan bahawa mereka merupakan sebahagian daripada Asia. Inilah antara perkara yang dicatatkan oleh beliau di dalam buku tersebut.

“Batu Pahat merupakan sebuah bandar dengan minda yang ceria yang wujud dari sebuah hutan tebal. Tiupan angin dari hutan dan laut bebas bertiup ke arah kota. Kehijauan dan kekuatan yang ganas mengelilingi kota, dan terus hidup subur di dalam hutan tanpa mampu dikalahkan oleh sesiapa.” (Dipetik dan diterjemah dari “Maree Ran-in kiko”)

Ayat ini merupakan antara ayat yang digambarkan oleh Kaneko di dalam bukunya. Beliau menggambarkan perbezaan antara kemeriahan sebuah bandar dengan keadaan alam rimba termasuklah sungai yang padat. Bandar dikatakan sebagai satu simbol kehidupan manusia dengan minda yang ceria, manakala alam semula jadi sebagai simbol dalam kehidupan yang kadang-kala ganas dan kejam.

Dalam catatannya, Kaneko menggambarkan bahawa dia dapat melihat kayu-kayu api yang terletak berhampiran sungai Batu Pahat melalui jendela bilik yang disewanya di aras dua dalam bangunan Japan Club. Beliau juga dapat melihat kelip-kelip yang berkumpul di sekeliling kayu-kayu api itu.

Mitsuharu Kaneko juga telah menulis sebuah puisi bertajuk “Sajak Pokok Nipah”. Dalam sajak tersebut, beliau telah menyebut mengenai Batu Pahat. Kaneko telah menulis bagaimana daun pokok nipah yang tumbuh menegak ke arah langit di tepian sungai Batu Pahat. Beliau turut menggambarkan bagaimana daun nipah yang dilihatnya meliuk lentuk menyapa permukaan air sungai. Daun muda yang tumbuh menegak memperlihatkan sisi kekuatan, manakala daunnya yang perlahan-lahan meliuk lentuk dan bergoyang di gigi-gigi air menggambarkan kelembutannya yang tersendiri.

Inilah serba sedikit kisah Kaneko Mitsuharu dan juga catatannya tentang Batu Pahat. Dengan erti kata lain, Batu Pahat bukanlah suatu tempat yang asing bagi orang Jepun. Sejarah telah membuktikan hubungan kerjasama antara Tanah Melayu dan Jepun yang wujud berkurun lamanya, walaupun sebelum berlakunya perang dunia kedua. Hubungan yang terjalin sebelum bermulanya perang dunia kedua lebih kepada hubungan ekonomi.

Artikel ini juga diterbitkan di :

1. malaysia gazette.com, 11 Oktober 2022 : https://malaysiagazette.com/2022/10/11/batu-pahat-dalam-catatan-penyair-jepun-kaneko-mitsuharu/

 

 

Hiyama Junko@ Noor Siti Abdullah

Siti Hajar Bidin (Penulis Bersama)

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)