Utusan Malaysia, 11 Oktober 2022 :

SAUDARA PENGARANG.

MALAYSIA terkenal sebagai negara berpenduduk majmuk yang memiliki pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India. Oleh itu, amat penting bagi rakyat mempelajari ketiga-tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil selain bahasa Inggeris bagi meningkatkan keharmonian dan perpaduan negara.

Contohnya, banyak kelebihan menguasai bahasa Mandarin yang digunakan secara meluas serta memiliki sekitar l bilion penutur di seluruh dunia. Dengan mempelajari bahasa Mandarin, kita dapat memahami budaya etnik Cina di Malaysia dan bangsa China di peringkat global.

Memahami budaya etnik lain merupakan salah satu langkah utama dalam usaha membentuk keharmonian antara pelbagai kaum serta pemangkin proses integrasi nasional.

Mempelajari bahasa Mandarin membuka ruang agar kita mengetahui pantang larang dalam masyarakat Cina. Sebagai eontoh, dalam aspek numerologi berdasarkan kepercayaan kaum Cina, angka empat amat berkait rapat dengan simbol malang.

Hal ini kerana, dalam bahasa Mandarin, sebutan bagi angka ini seakan-akan sama dengan perkataan yang membawa maksud ‘mati.’ Oleh itu, masyarakat Cina secara amnya tidak akan memiliki angka empat dalam nombor telefon, nombor pendaftaran kenderaan, mahupun alamat rumah mereka.

Pemberian hadiah jam pada hari lahir juga merupakan suatu pantang larang kerana sebutan jam dalam bahasa Cina membawa maksud penghujung kepada kehidupan.

Adakah anda tahu terdapat istilah dalam kehidupan seharian yang selalu digunakan oleh masyarakat kita sebenarnya diambil daripada bahasa Mandarin? Sebagai contoh, perkataan yang sering kita sebut sebagai ‘tapau’ berasal daripada perkataan Mandarin, iaitu dabao bermaksud bungkus. Perkataan ini seringkali digunakan oleh masyarakat kita berbanding perkataan bungkus.

Di samping itu, pasti ramai yang sedar bahawa rata-rata masyarakat Cina pandai berniaga. Pernyataan ini bukanlah menidakkan kebolehan kaum lain dalam aspek perniagaan. Cuma jika dilihat senario di mana-mana tempat termasuk di Malaysia, kaum Cina amat menonjol dalam aspek ini.

Jika kita mampu berbahasa Mandarin, sudah pasti ia memudahkan urusan jual beli seharian kita. Dalam masa sama, kita juga mudah untuk mempelajari cara dan selokbelok perniagaan dengan mereka.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menyatakan bahawa bahasa Mandarin bukan lagi bahasa sesuatu kaum sebaliknya bahasa sebuah negara maju yang memiliki kekuatan ekonomi.

Sudah tentu kita sedia maklum bahawa pusat ekonomi pada masa kini tertumpu di negara China. Terdapat banyak syarikat dari negara China melabur di Malaysia dan kebanyakan syarikat yang bertapak di tanah air ini pula dimiliki oleh orang Cina.

Merujuk pada kebanyakan laman web carian kerja, kemahiran berbahasa Mandarin merupakan antara kriteria yang sangat dikehendaki dalam kebanyakan jawatan kosong.

Dalam erti kata lain, kebolehan bertutur dalam bahasa Mandarin merupakan salah satu bonus dan nilai tambah dalam aspek kerjaya.

Artikel ini juga diterbitkan di :

1. utusan.com, 11 Oktober 2022 : https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2022/10/tiada-alasan-melayu-india-jahil-bahasa-mandarin/

2. melaysiakini.com, 11 Oktober 2022 : https://www.melaysiakini.com/tiada-alasan-melayu-india-jahil-bahasa-mandarin-59720.html

 

PUAN FARHANA BINTI ABD HAMID

&

ENCIK MUHAMAD RADI BIN AHMAD

Guru Bahasa

Pusat Pengajian Bahasa (PPB)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)