Naib Canselor (tengah) ditemani Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) (kiri) beramah mesra dengan pelajar baharu semasa proses pendaftaran berlangsung.

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyambut kedatangan 2049 pelajar baharu program ijazah sarjana muda bagi semester 1 sesi 2022/2023 pada hari pertama pendaftaran yang diadakan pada 9 Oktober 2022 bertempat di kampus induk Parit Raja dan kampus Pagoh.

Jumlah tersebut dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa sehingga tempoh pendaftaran berakhir.

Kesemua pelajar baharu itu akan mengikuti sesi perkuliahan 2022/2023 secara bersemuka mengikut keperluan dan penetapan yang dibuat oleh fakulti masing-masing.

Terdahulu, mereka perlu mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) yang dijadual berlangsung selama lima hari bermula 9 hingga 13 Oktober ini.

Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim berkata kesemua pelajar baharu itu akan ditempatkan di kolej-kolej kediaman yang disediakan oleh universiti.

Mereka akan mengikuti program pengajian di lapan fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan.

“UTHM berharap pelajar yang mendaftar di kampus induk Parit Raja dan kampus Pagoh sudah bersedia untuk mengharungi kehidupan kampus dan berusaha keras bagi mencipta kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang terpilih menjadi warga universiti ini dan berharap semua pelajar dapat menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin untuk mencapai kejayaan di kemudian hari,” katanya.

Beliau bersama dengan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr Azme Khamis dan Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Prof. Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa turut menyambut dan meraikan kedatangan pelajar baharu bersama keluarga masing-masing pada hari tersebut.

 

Naib Canselor (tengah) ditemani Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) (kiri) beramah mesra dengan pelajar baharu semasa pendaftaran berlangsung.

Berita ini juga diterbitkan di :

1. malaysia gazette.com, 10 Oktober 2022 : https://malaysiagazette.com/2022/10/10/uthm-sambut-lebih-2000-penuntut-baharu/