Mingguan Malaysia 9 Oktober 2022 :

Oleh Mohamad Hafiz Yusoff Bakri

KUMPULAN ini membuat persembahan gendang silat yang masih mendapat tempat dalam masyarakat masa kini.

GABUNGAN pemain gambus Mohd. Nizam dan adiknya. Zaidan Attan bersama penyanyi dan pemuzik tradisional pada Malam Kemala Irama 4.0 ASWARA.

MENDENGAR alunan muzik daripada peralatan muzik seperti gendang, rebana, gambus, rebab atau serunai sememangnya mengasyikkan lebih-lebih lagi dengan iringan persembahan seperti dikir barat, wayang kulit, menora dan pelbagai lagi.

Tidak keterlaluan jika dikatakan ada sesetengah muzik tradisional mampu membuatkan bulu roma meremang sebaik di dendangkan alunan merdu instrumen tersebut.

Saya juga tidak terkecuali lebih-lebih lagi apabila mendengar alunan gendang silat.

Namun, di sebalik alunan muzik yang bergema ketika persembahan-persembahan dipentaskan, berapa ramai yang kenal dengan pemuzik tradisional?

Nama-nama seperti Raja Gambus Malaysia Allahyarham Fadzil Ahmad, Wak Isa Morak (rebab) dan Abdul Razak Senik (rodat) sudah semestinya kurang dikenali. Kalau ada pun hanyalah dalam ruang lingkup kecil dan dalam kalangan peminat genre muzik itu sendiri.

Itu pun berapa kerat sahaja yang betulbetul mengabdikan diri mereka dalam muzik atau persembahan seperti ini.

SEORANG pemuda meniup serunai daiam satu persembahan.

Tidak pasti di mana silapnya apabila nama besar yang diangkat dalam arena ini hanyalah penyanyi.

Jadi, kenapa ini berlaku? Adakah tenggelamnya nama besar ini disebabkan pemuzik yang hanya bersifat pasif tanpa karakter tersendiri untuk menepati trend-trend terkini?

Adakah tenggelamnya nama-nama hebat ini berkemungkinan semakin dekat tempoh hayat instrumen dan genre muzik tradisional? Banyak persoalan yang perlu dirungkai.

Bagi Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Tun Hussein Onn, Dr. Mohd. Nizam Attan, untuk meletakkan nama pemuzik tradisional Melayu sebaris dengan negara lain beberapa perkara perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

Malah katanya, anugerah ketokohan khusus untuk pemuzik Melayu tradisional juga perlu diwujudkan dengan lebih konsisten dan bukan sekadar ‘sekejap ada sekejap tiada’.

“Pada satu ketika dahulu kita pernah ada anugerah seperti ini. Ia memang memberi semangat kepada penggiat seni tradisional.

“Tetapi selepas itu senyap tanpa ada apa-apa khabar mengenai anugerah ini. Masalahnya buatlah apa sahaja anugerah, tapi yang kita tengok tidak konsisten.

AZAM DUNGUN

MOHD. NIZAM ATTAN

“Sepatutnya perlu ada anugerah khas untuk pemuzik tradisional bagi menjaga kesinambungan dan meningkatkan kesenian negara. Wajib buat supaya orang luar nampak,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Dalam pada itu, bagi komposer Dr. Azam Dungun, pemuzik tradisional di negara ini boleh dimartabatkan menerusi persembahan dalam festival muzik di peringkat dunia.

“Selain itu, kurikulum muzik tradisional boleh dibangunkan dan dibantukan dengan modul-modul pengajaran dalam bentuk bercetak dan video ke institusi pengajian tinggi di luar negara.

“Apa yang penting, pastikan alat-alat muzik tersebut adalah asli dari negara kita,” jelasnya.

Tambah Azam yang turut menyokong kewujudan anugerah itu, pengiktirafan sedemikian sekaligus dapat memberi ruang dan peluang untuk melestarikan bidang kepakaran mereka kepada pelapis pada masa akan datang.

“Jika dunia sastera boleh berbangga dengan Anugerah Seni Negara (ASN), apa salahnya dunia muzik tradisional berbangga dengan anugerahnya tersendiri seperti Anugerah Seniman Negara (Utama) yang pernah diberikan kepada pengamal muzik tradisional Pak Hamzah Awang Mat pada l993?”soalnya.

Tambahnya, terdapat beberapa nama ikon yang boleh diangkat antaranya pemuzik tradisi Kelantan, Che Mat Jusoh; bekas pemain gamelan Istana Budaya, Othman Abdullah dan pemain gambus, Zaidan Attan antara nama-nama yang boleh diketengahkan