Penyelidik UTHM bantu pengurusan sawah Sungai Balang, Muar

Oleh Prof. Madya Dr. Nor Hazana Abdullah

MUAR – Sekumpulan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil insiatif membantu pengurusan sawah Sungai Balang dengan cara berkongsi idea, mengenal pasti masalah dan mencari penyelesaian melalui penyelidikan agar lebih terancang dan mampan pada masa hadapan.

Kumpulan penyelidik yang diketuai Profesor Madya Dr. Eta Wahab turut membangunkan Buku Laporan Tahunan 2021 Jawatankuasa Pengurusan Kelompok Sawah Sungai Balang, laman Wikipedia dan juga Facebook untuk dijadikan pemangkin kepada pengurusan sawah Sungai Balang.

Rentetan daripada usaha itu, kumpulan penyelidik UTHM tersebut telah menganjurkan Majlis Ramah Mesra Pesawah Sungai Balang pada 2 Ogos 2022 lalu bagi mengeratkan hubungan dan mewujudkan sinergi baharu antara pesawah, Jawatankuasa Pengurusan Kelompok Sawah Sungai Balang serta agensi kerajaan yang terlibat ke arah pengurusan sawah yang berkesan.

Turut diadakan, pelancaran buku laporan tahunan 2021, Wikipedia dan facebook hasil kerjasama UTHM dengan Jawatankuasa Pengurusan Kelompok Sawah Sungai Balang.

Pada majlis tersebut, para pesawah juga turut diberi peluang untuk menyuarakan sebarang isu berkenaan pengurusan sawah kepada agensi kerajaan yang terlibat.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Muar, Mohd Fairul Surain selaku wakil rasmi Ketua Pegawai Daerah Muar, Dato’ Haji Mustaffa Kamal Dato’ Haji Shamsuddin.

Turut hadir, Pegawai Pertanian Daerah Muar, Muhammad Faizal Saidi, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UTHM, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Shahiron Shahidan dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kelompok Sawah Sungai Balang, Nur Indahna Main.

Mohd Fairul dalam ucapanya turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada UTHM dan agensi terlibat kerana memberi kerjasama yang baik selama ini.

“Segala bentuk kerjasama ini mampu memberi harapan dan inspirasi untuk terus maju dalam meningkat produktiviti pengeluaran padi di Sungai Balang,” katanya.

 

 

Categories
Penyelidikan dan InovasiSosial , Kebajikan dan Masyarakat
Subscribe