Oleh Mariyatul Qibtiyah Mohamad

BATU PAHAT – Seramai 21 pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) Tahfiz Al-Quran 1 berjaya menganjurkan program University-Community Engagement (UCE) yang dinamakan “Guide Us to the Straight Path” dengan menggunakan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Arab pada 4 Jun 2022 lalu.

Program gabungan pelajar dari empat negara itu diisi dengan pelbagai aktiviti, antaranya latihan dalam kumpulan (LDK) 1, melibatkan pelajar dari Yaman dengan menyampaikan modul Tajwid dalam bahasa Arab, manakala pelajar dari Somalia pula menyampaikan pembentangan dalam bahasa Inggeris.

Selain itu, bakat baharu pelajar perempuan yang menawarkan diri untuk menjadi pengacara majlis versi bahasa Melayu, Amal Hazwani Mohamad turut memeriahkan lagi penganjuran program itu.

Manakala pengacara majlis bagi versi bahasa Inggeris pula melibatkan penyertaan pelajar dari Yaman iaitu Hasan Mohammed Hasan Ahmed Al-Hubaishi.

Bagi meraikan peserta yang hadir, pelajar dari Malaysia dan Libya turut mengadakan sesi ulang kaji Hukum Tajwid berbentuk kuiz melalui aktiviti LDK 2.

Pemenang Kuiz Tajwid masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM30 bagi Juara, RM20 bagi Naib Juara dan RM10 bagi pemenang Tempat Ketiga.

Program juga diserikan dengan LDK 3 iaitu bacaan al-Quran versi Tilawah oleh Abdul Rahman Abu Bakar dari Malaysia dan bacaan al-Quran versi Hafazan serta penerangan kaedah bacaan secara tilawah dan hafazan  yang disampaikan oleh Mohammed Fahmi Fadhl Al-Husaini dari Yaman.

Acara kemuncak diisi dengan ceramah yang disampaikan oleh jemputan khas, Ustaz Mohd Lazim Solihan, Guru Pendidikan Islam dari Sekolah Kebangsaan Parit Bingan (SKPB), Batu Pahat dengan tajuk ceramah “Perlukah Kita Menghafal Al-Quran Semasa di Kolej dan Universiti”.

Manakala Program bertajuk “Guide Us to The Straight Path” yang diketuai oleh Mohd Zaeem Khalim Yatim telah berjaya menarik minat peserta luar dari pelbagai latar belakang.

Walaupun program dijalankan secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet, majoriti peserta memberi maklum balas yang positif.

Turut diadakan, slot Hafazan yang dikendalikan sepenuhnya oleh lima pelajar wanita dari Malaysia. Slot tersebut diisi dengan topik bagaimana mengurus masa untuk menghafal sambil belajar semasa di universiti, tip menghafal pantas serta perkongsian pengalaman daripada lima fasilitator terbabit.

Program ini diakhiri dengan penerangan pengajaran Surah Ad-Dukhan yang disampaikan oleh pengarah program, diikuti majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

PPUK UTHM komited dalam menjalankan program UCE sebegini dengan membabitkan pelbagai lapisan masyarakat. Selain meluaskan perkongsian ilmu yang bermanfaat, ia juga sebagai satu usaha untuk meningkatkan nilai insaniah dalam kalangan pelajar.

 

Pengajar dan sebahagian pelajar Tahfiz Al-Quran 1 yang terlibat menjayakan program UCE