Oleh Dr. Mohd Faisal Hushim dan Dr. Muhammad A’imullah Abdullah

PAGOH – Seramai 11 sukarelawan Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP) telah menjalankan program khidmat masyarakat ‘Pengawas Berkarisma’ pada 15 Julai 2022 lalu bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Pasir, Pagoh.

Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk melahirkan pemimpin muda yang berkaliber dan cemerlang sekali gus menjadi contoh kepada generasi akan datang.

Program ini juga diadakan bagi membantu dan membina jati diri para pengawas sekolah agar mereka lebih faham tentang kepentingan tugas dan tanggungjawab yang mereka pikul.

Selain itu, pelaksanaan program ini juga bagi meningkatkan lagi semangat para pengawas selaku pemimpin dalam kalangan pelajar agar mereka dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan sistematik.

Para fasilitator telah menggunakan tiga modul bagi memastikan keberkesanan program ini.

Walaupun program ini dilaksanakan semasa minggu ulang kaji sebelum menghadapi peperiksaan akhir semester, para sukarelawan terlibat tetap komited dalam menjayakan program ini.

Aktiviti perpindahan ilmu ini mencerminkan personaliti pelajar UTHM yang prihatin dengan keperluan pelbagai golongan masyarakat.

Pihak kolej berharap inisiatif penganjuran program seumpama ini akan mewujudkan hubungan yang baik antara universiti dan komuniti sekolah.