Oleh Noorliyana Omar, Munzilah Md. Rohani, Basil David Daniel, Ahmad Raqib Ab. Ghani dan Kamarudin Ambak

Kaedah Pengajaran Imersif Class to Community (C2C) yang dilaksanakan melalui projek KidSafe UTHM, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah memberi banyak manfaat kepada pelajar dan komuniti.

Pembelajaran imersif C2C merupakan kaedah pengajaran berasaskan kelas kepada komuniti yang dijalankan dalam suasana pembelajaran aktif di luar kelas.

Menurut pensyarah dan juga penyelidik FKAAB, Noorliyana Omar, pelaksanaan C2C ini merupakan salah satu usaha bagi merapatkan hubungan universiti bersama komuniti setempat melalui program perkongsian ilmu di samping menyemai disiplin dan pengetahuan keselamatan jalan raya.

“Ini secara langsung dapat mempamerkan komitmen pelajar sebagai duta UTHM terhadap isu kemalangan jalan raya yang menjadi isu penting perlu diberi perhatian di Batu Pahat, Johor.

“Melalui pendekatan C2C pelajar Kejuruteraan Awam UTHM didedahkan dengan kaedah pembelajaran imersif yang dilaksanakan secara bersemuka dan dalam talian sebagai alernatif pengajaran secara konvensional dalam kelas,” katanya.

Matlamat utama C2C ini adalah untuk menggalakkan pelajar supaya lebih kreatif dan inovatif untuk menyumbang dan berkongsikan pengetahuan mereka berkaitan keselamatan jalan raya kepada masyarakat.

Melalui kaedah ini, pelajar juga dapat menggunakan dan mempertingkatkan lagi kemahiran kognitif, psikomotor dan afektif untuk berkomunikasi secara berkesan dan bekerja dalam satu pasukan.

Bukan itu sahaja, malah pelajar juga dapat mengaplikasikan ciri-ciri kepimpinan dan bakat yang mereka ada dengan lebih yakin untuk melaksanakan tugasan projek yang diberikan secara efektif dan berinovasi.

Sifat extrovert yang dapat diwujudkan dalam diri pelajar juga mampu memupuk sifat kesukarelawan dengan mengekalkan etika yang tinggi seperti yang sepatutnya dimiliki oleh seorang jurutera.

Pembelajaran C2C mengaplikasikan konsep gabungan kesukarelawanan, perkhidmatan masyarakat dan amalan kejuruteraan.

Melalui pendekatan kesukarelawanan, pelajar dilatih untuk menjadi sukarelawan KidSafe bagi meransang minda positif dan meningkatkan keyakinan diri yang lebih tinggi terhadap pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kejuruteraan awam khususnya berkaitan keselamatan jalan raya.

Sementara itu, elemen perkhidmatan masyarakat yang dilaksanakan itu juga merupakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang mengintegrasikan penglibatan komuniti yang bermakna dan terarah.

Manakala elemen Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) diterapkan untuk memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar dengan menekankan pembelajaran dan refleksi timbal balik. Manakala amalan kejuruteraan yang diterapkan melibatkan aspek keselamatan jalan raya seperti yang telah dipelajari dalam kelas.

Pendekatan C2C ini memberi manfaat pengalaman pembelajaran dari segi kognitif, psikomotor dan afektif. Melalui projek KidSafe UTHM juga, pelajar dapat memahami matlamat dan objektif projek keselamatan jalan raya dan mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam bidang keselamatan jalan raya.

Hasilnya, pelajar dapat menggabungkan kefahaman dan pengetahuan mereka dalam elemen berkaitan keselamatan jalan raya bagi menghasilkan pelbagai aktiviti program secara interaktif dan inovatif dapat dilaksanakan. Ini bukan sahaja bermanfaat untuk pelajar UTHM malah turut memberi ilmu yang berguna kepada komuniti yang terlibat.

Selain itu, pelajar juga dapat mengenal pasti elemen keselamatan jalan raya yang bersesuaian dengan kumpulan umur peserta (sekolah rendah atau menenngah), dan menggunakan bahan aktiviti secara kreatif.

Pelajar dapat meningkatkan kemahiran kerja berpasukan, merancang, bertanggungjawab, beretika, kepimpinan, menguruskan projek, kewangan dan menyediakan laporan/video secara tersusun, bermaklumat serta konsisten dengan matlamat projek.

Kesimpulannya, C2C mampu menambah baik kaedah PdP konvensional yang telah diguna pakai sekian lama untuk menangani masalah pembelajaran pelajar yang pelbagai terutama mereka yang mempunyai gaya pembelajaran visual dan kinestetik. Malah mampu melatih bakal jurutera yang bukan sahaja perlu mempunyai etika malah melatih mereka untuk keluar daripada sikap introvert.