Program ‘Curahan Amal Bakti Mahasiswa’ rapatkan hubungan UTHM-komuniti Pulau Perhentian

Oleh Dr. Mohd Faisal Hushim

Prihatin dengan kepentingan pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar, 20 pelajar bersama pegawai pengiring dari Kolej Kediaman Kampus Pagoh, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjalankan aktiviti khidmat masyarakat melalui program ‘Curahan Amal Bakti Mahasiswa’ yang bertempat di Pulau Perhentian.

Program yang dilaksanakan pada 3 hingga 5 Julai 2022 ini melibatkan beberapa aktiviti antaranya ramah mesra bersama penduduk setempat, membersihkan kawasan sekitar rumah penduduk, membersihkan kawasan sekitar pantai sepanjang lebih 400 meter serta pemuliharaan flora dan fauna.

Di samping itu, beberapa aktiviti tambahan turut dilaksanakan iaitu pendakian ke kawasan kincir angin dan berjalan malam.

Aktiviti pendakian ke kawasan kincir angin bertujuan untuk mendedahkan diri para pelajar berkenaan teknologi penghasilan tenaga yang boleh diperbaharui manakala aktiviti berjalan malam pula bagi membina semangat diri pelajar.

Program ini memberikan impak yang signifikan tidak kira kepada pelajar mahupun penduduk setempat, yang mana ia dapat memupuk kesepaduan dan keteguhan kerjasama dalam menjayakan sesuatu program.

Program ini juga merupakan sebahagian daripada aktiviti yang mampu mendekatkan pelajar UTHM dengan komuniti luar dan wajar diteruskan lagi di tempat lain agar manfaatnya boleh dinikmati secara meluas oleh pelbagai golongan masyarakat.

 

 

 

 

 

Categories
Sosial , Kebajikan dan Masyarakat
Subscribe