Sebagai usaha membentuk keluarga bahagia dalam kalangan masyarakat, 35 pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit: Perkahwinan Dalam Islam Seksyen Satu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program Perkahwinan Sakinah: Persiapan Bermula dari Bujang pada 11 Jun 2022 lalu.

Program dengan kerjasama Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Universiti Teknikal Malaysia Kampus Ayer Keroh dan juga Universiti Teknikal Malaysia Kampus Durian Tunggal itu diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan serta kefahaman berkaitan ilmu-ilmu persiapan mental dan fizikal sebelum mendirikan rumah tangga yang boleh di praktiskan bagi golongan anak muda.

Hal ini bagi meningkatkan lagi ilmu pengetahuan para pelajar tentang persediaan yang perlu dilakukan oleh golongan muda bagi membentuk keluarga bahagia sekali gus mengelakkan risiko kes penderaan rumah tangga, penceraian dan juga risiko lain yang boleh mendatangkan kemudaratan.

Setiap perkongsian ilmu di dalam program ini disampaikan sendiri oleh pelajar-pelajar kursus terbabit melalui aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) yang telah dirancang dengan baik dan efisen.

Dengan cara ini, pelbagai kemahiran dapat dibangunkan terhadap pelajar secara holistik seperti kepimpinan, perancangan organisasi dan program, kerjasama dalam kumpulan dan juga kemahiran komunikasi yang efektif.

Topik yang dibincangkan berkisar tentang isu perkahwinan semasa di Malaysia iaitu perkahwinan yang tidak sah di dalam Islam, perkahwinan di bawah umur, perbezaan nafkah dan hibah, penyakit-penyakit yang memudaratkan perkahwinan dan juga isu-isu berkaitan kahwin lari.

UTHM juga turut mengundang penceramah jemputan, Ustaz Abdul Rahim Azhari yang juga turut berkongsi tentang amalan yang boleh dilakukan sewaktu bujang bagi meningkatkan persediaan diri dalam berusaha mencapai perkahwinan sakinah yang membawa kepada ketenangan, ketentraman, aman atau damai.

Menurut Ustaz Abdul Rahim, antara perkara atau amalan yang boleh diamalkan sewaktu bujang bagi memperoleh perkahwinan sakinah adalah beriman dengan takdir Allah S.W.T iaitu beriman dengan Qada’ dan Qadr.

Beliau turut menyarankan agar selalu berdoa dikurniakan jodoh yang baik di samping berusaha memilih calon yang sesuai dengan melihat karakter yang baik seperti sabar, berilmu dan menjaga hubungannya dengan Allah SWT.

Turut diadakan, pertandingan kuiz secara dalam talian bagi menguji kefahaman peserta dan sebagai satu refleksi kepada mereka sepanjang mengikuti kursus tersebut.

Penganjuran program seperti ini sangat berkesan dalam meningkatkan lagi kemahiran insaniah pelajar UTHM. Antaranya mengasah kemahiran seperti berinteraksi bersama masyarakat luar yang terdiri daripada rakan-rakan institut pengajian tinggi dengan kaedah berkongsi pandangan yang pelbagai serta sesi soal jawab yang terbuka mengikut bidang pengajian masing-masing.